Ngemah Sasarkan Semua Rumah Panjang Terhubung Jalan Raya Dalam 10 Tahun
SIBU: Semua kawasan dan rumah panjang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ngemah disasarkan terhubung dengan jaringan jalan raya dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang, dengan kira-kira 40 kilometer jajaran baharu masih diperlukan bagi melengkapkan rangkaian berkenaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ngemah, Anyi Jana berkata, usaha memperluas jaringan jalan raya akan terus diberi perhatian bagi memastikan penduduk, khususnya di kawasan pedalaman, mendapat akses perhubungan yang lebih baik.
“Saya akan berusaha sedaya upaya untuk memastikan pembinaan jalan sepanjang kira-kira 40 kilometer itu dapat direalisasikan, bukan sahaja di kawasan Sungai Ngemah tetapi juga sepanjang Batang Rajang.
“Ini termasuk jajaran sepanjang 12 kilometer dari Batu Luking ke Teluk di Rantau Dilang, lapan kilometer dari Jagau ke Pra dan lapan kilometer lagi dari Jagau ke Rantau Lugai,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Makan Malam Bersama Media, di sini pada Sabtu.
Menurut Anyi, usaha kerajaan Sarawak mengambil alih jalan balak di seluruh negeri turut membuka peluang untuk menyediakan akses sementara kepada penduduk di kawasan pedalaman sementara menunggu pembinaan jalan utama disiapkan.
Katanya, di Ngemah, jalan balak sepanjang kira-kira 30 kilometer dari Simpang Dap ke Simpang Jagau serta laluan tujuh kilometer dari Simpang Jagau ke kawasan SPS Jagau kini menjadi laluan penting bagi penduduk beberapa rumah panjang.
“Antaranya Rumah Panjang Magal, Rumah Panjang Jimmy dan Rumah Panjang Ujang yang menggunakan laluan itu untuk berhubung dari Pasar Kanowit ke Jagau.
“Pengambilalihan jalan balak berkenaan boleh menyediakan akses lebih segera sementara penduduk menunggu projek jalan utama Nanga Ngungun-Nanga Jagau disiapkan,” ujarnya.
Sementara itu, projek jalan utama Nanga Ngungun-Nanga Jagau dibahagikan kepada empat bahagian dengan keseluruhan jajaran dilaksanakan melalui peruntukan agensi kerajaan berkaitan.
Bahagian pertama dari Nanga Ngungun ke Nanga Bat melibatkan kos RM38 juta dan dilaksanakan di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
Bahagian kedua dari Nanga Bat ke Nanga Pra sepanjang sembilan kilometer bernilai RM108 juta di bawah Agensi Pembangunan Ulu Rajang (URDA) telah siap sepenuhnya dan dijangka dirasmikan tidak lama lagi.
Bahagian ketiga dari Nanga Pra ke Nanga Jagau turut bernilai RM108 juta di bawah KKDW.
Bahagian keempat pula membabitkan laluan sepanjang lapan kilometer dari Nanga Jagau ke Rantau Lugai di bawah Agensi Pembangunan Wilayah Tengah Rajang (MIRRDA).
Selain itu, projek jalan sepanjang tujuh kilometer dari jalan balak ke Jagau di bawah peruntukan MIRRDA telah selesai kerja ukur dan penentuan jajaran serta dijangka ditender dalam masa terdekat. -EDISI UKAS