Kemudahan Jambatan Besi, Rumah Biro Wanita Perkasa Komuniti Rumah Jantai
BALEH: Penduduk Rumah Jantai Siba, Nanga Entelangau kini menikmati kemudahan jambatan besi dan Rumah Biro Wanita yang telah dirasmikan dalam satu majlis pada Ahad.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Baleh, Nicholas Kudi Jantai berkata, kemudahan berkenaan mencerminkan usaha berterusan dalam menyokong keperluan serta kesejahteraan komuniti setempat.
“Jambatan besi ini dilaksanakan menerusi peruntukan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) dengan kos RM250,000, manakala Rumah Biro Wanita Rumah Jantai Siba menerima peruntukan sebanyak RM32,000,” katanya semasa berucap pada majlis perasmian berkenaan.
Dalam pada itu, Nicholas berkata, warga rumah panjang perlu terus bersatu hati dan bekerjasama dalam melaksanakan pelbagai aktiviti demi kepentingan serta kesejahteraan komuniti.
Beliau turut menyeru masyarakat agar terus mengukuhkan kerjasama dengan wakil rakyat bagi memastikan pembangunan dan kebajikan komuniti setempat terus diberi perhatian.
Sementara itu, Nicholas menegaskan, penghulu kawasan juga wajar dilibatkan dalam mesyuarat atau perbincangan berkaitan pengurusan bencana bagi memastikan penyampaian maklumat serta tindakan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
Beliau turut memaklumkan isu berkaitan pergerakan lori balak akan dibawa kepada agensi berkaitan untuk perhatian dan tindakan selanjutnya.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar satu sesi dialog bersama penduduk diadakan bagi membincangkan perkara tersebut.
Pada majlis sama, Nicholas menyalurkan sumbangan RM3,000 kepada Biro Wanita dan RM5,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) rumah panjang itu.
Hadir sama, wakil Residen Bahagian Kapit Rolyn Terrance, wakil Pejabat Daerah Bukit Mabong George Jandok dan Pegawai Perhubungan Komuniti URDA Baleh Wesley Dugu. -EDISI UKAS