Penyelarasan Awal Perkukuh Persediaan Sukan SEA dan Para ASEAN 2027
PULAU PINANG: Penyelarasan awal antara jawatankuasa pengelola dan kluster negeri menjadi asas penting bagi memastikan persediaan Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN 2027 dapat dilaksanakan secara tersusun dan berkesan.
Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi), Datu Hii Chang Kee berkata, penyelarasan tersebut penting bagi memastikan setiap pihak memahami skop tanggungjawab masing-masing serta mengenal pasti kebergantungan kerja antara jawatankuasa sejak peringkat awal.
“Setiap jawatankuasa perlu memahami peranan dan tanggungjawab masing-masing serta mengenal pasti perkara yang memerlukan sokongan dan kerjasama daripada jawatankuasa lain.
“Ini penting supaya sebarang isu berkaitan kebergantungan antara jawatankuasa dapat dikenal pasti lebih awal dan tindakan penyelarasan boleh dibuat secara berkesan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Bengkel Penyelarasan Memperkukuh Persediaan Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN 2027 yang berlangsung di sini, bermula Ahad hingga 15 September depan.
Menurutnya, kejayaan penganjuran temasya sukan bertaraf antarabangsa memerlukan kerjasama rentas kementerian, agensi dan kerajaan negeri yang terlibat, dan tidak bergantung kepada satu jawatankuasa atau agensi sahaja.
Katanya, penyediaan matriks kebergantungan antara jawatankuasa pengelola merupakan antara langkah penting untuk memastikan perancangan dan pelaksanaan setiap komponen temasya dapat diselaraskan secara sistematik.
“Matriks ini bukan sahaja membantu mengenal pasti tanggungjawab setiap jawatankuasa, malah membolehkan perkara yang memerlukan keputusan, sokongan sumber, koordinasi atau tindakan bersama diberi perhatian pada peringkat awal.
“Dengan penyelarasan yang jelas, kita dapat mengurangkan risiko pertindihan tugas, jurang tanggungjawab dan kelewatan dalam pelaksanaan,” katanya.
Bengkel tiga hari itu menghimpunkan wakil daripada pelbagai kementerian dan kerajaan negeri, termasuk Kluster Kuala Lumpur/Putrajaya, Sarawak, Pulau Pinang dan Johor, bagi berkongsi pandangan, menyelaras keperluan serta memperincikan peranan masing-masing menjelang penganjuran temasya sukan berkenaan pada 2027.
Penglibatan Sarawak dalam bengkel berkenaan mencerminkan komitmen negeri untuk memastikan segala persediaan dan tanggungjawab yang dipertanggungjawabkan kepada Sarawak dapat dilaksanakan secara terancang, selaras dengan keperluan penganjuran temasya sukan serantau tersebut.
Turut hadir, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor (Sukan, Belia dan Sukarelawan), Dato On Jabbar @ Ja’afar dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MASOC Kluster Penang, Mozakir Buyong Mokhtar. -EDISI UKAS