RM1.8 Juta Terangi 23 Kampung Luar Bandar Kota Samarahan
KOTA SAMARAHAN: Sebanyak RM1.8 juta diperuntukkan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bagi pemasangan lampu jalan solar LED di 23 kampung dalam kawasan Parlimen Kota Samarahan, sekali gus meningkatkan pencahayaan serta keselamatan penduduk luar bandar.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah merangkap Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang berkata, projek berkenaan memberi keutamaan kepada kawasan yang belum mempunyai bekalan elektrik grid, khususnya jalan kampung dan lokasi strategik yang sering digunakan masyarakat.
Menurutnya, penggunaan teknologi solar membolehkan kemudahan pencahayaan disediakan tanpa bergantung sepenuhnya kepada bekalan elektrik grid, di samping berpotensi mengurangkan kos operasi dan memperbaiki persekitaran kampung.
“Projek ini memberi pencahayaan di kawasan yang memerlukan, terutama lokasi yang tidak mempunyai tiang elektrik, sekali gus membantu meningkatkan keselamatan dan keselesaan penduduk,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika meninjau pelaksanaan projek berkenaan di Pusat Penjaja Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) Tambirat, di sini pada Isnin.
Bagi kawasan Kota Samarahan, projek tersebut dilaksanakan menerusi enam pakej yang melibatkan 23 kampung, manakala Zon Asajaya merangkumi dua pakej melibatkan Kampung Teluk Sabang, Kampung Tambirat Hilir, Kampung Rebak, Kampung Serpan Laut dan Kampung Asajaya Tengah.
Kerja pemasangan bagi Zon Asajaya bermula pada 4 September dan dijangka siap pada 27 November ini.
Datuk Rubiah berkata, pemasangan turut memberi tumpuan kepada lokasi strategik seperti surau, dewan, sekolah dan persimpangan bagi memastikan kemudahan pencahayaan disediakan di kawasan yang memberi manfaat langsung kepada komuniti.
Katanya, Sarawak merupakan antara empat negeri yang dipilih untuk melaksanakan projek perintis lampu jalan solar LED tahun ini, susulan pelaksanaan projek perintis terdahulu di Selangor.
Dalam pada itu, beliau berkata permohonan untuk memperluas kemudahan berkenaan ke kampung-kampung yang belum menerimanya akan diusahakan untuk pertimbangan tahun hadapan, tertakluk kepada peruntukan dan kelulusan yang tersedia.
Pelaksanaan projek tersebut dijangka memberi impak langsung kepada komuniti luar bandar melalui peningkatan pencahayaan di kawasan strategik, khususnya lokasi yang belum mempunyai kemudahan elektrik grid.
Turut hadir, Pengarah KKDW Sarawak, Mohd Syafiq Anas Abdullah dan Pegawai Daerah Asajaya, Jerry Zannuddin Bidin. -EDISI UKAS