Sarawak Perluas Jaringan Global, Perkukuh Agenda Tenaga
BANGKOK: Sarawak terus memperluas jaringan strategik antarabangsa dan memperkukuh agenda pembangunan sektor tenaga menerusi penglibatan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg dalam siri pertemuan serta dialog peringkat tinggi di Bangkok, Thailand.
Agenda lawatan kerja Premier Sarawak pada Isnin dimulakan dengan pertemuan bersama Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan pengasas Indorama Ventures Public Company Limited, Aloke Lohia di The Ritz-Carlton Hotel.
Pertemuan tersebut menjadi antara agenda penting dalam lawatan berkenaan, khususnya dalam memperluas jaringan Sarawak dengan pemain industri dan sektor korporat antarabangsa.
Hadir sama Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Datuk Dr Hazland Abang Hipni bersama delegasi kerajaan negeri.
Pada sebelah petang, Datuk Patinggi Abang Zohari dijadual menghadiri Mesyuarat Meja Bulat Peringkat Menteri secara tertutup sebelum meneruskan agenda dengan Sesi Dialog Tenaga bertajuk ‘Growth, Abundance and the Courage to Decarbonise’.
Beliau kemudiannya akan menyertai sesi ‘fireside chat’ di Bangkok International Trade and Exhibition Centre (BITEC), yang dijangka menjadi platform untuk mengetengahkan perspektif Sarawak mengenai masa depan industri tenaga, pertumbuhan ekonomi, peralihan tenaga serta usaha penyahkarbonan.
Penyertaan Sarawak dalam GASTECH 2026 turut membuka ruang untuk memperluas kerjasama dan jaringan strategik dengan pelbagai pihak berkepentingan serta pemain utama industri tenaga global, sekali gus memperkukuh kedudukan Sarawak dalam perkembangan sektor tenaga di peringkat antarabangsa.
Datuk Patinggi Abang Zohari dijadual berlepas pulang ke Sarawak pada petang Isnin. -EDISI UKAS