Pengurusan Air Pintar: Memastikan Bekalan Air Bersih dan Mampan Untuk Seluruh Sarawak
Mukadimah
Naratif ini cuba menyoroti inisiatif Kerajaan Sarawak dalam melaksanakan sistem pengurusan air pintar (smart water management) bagi memastikan bekalan air bersih yang mampan kepada seluruh rakyat, selaras dengan aspirasi mencapai 100 peratus liputan air bersih menjelang 2030.
Topik ini membincangkan penggunaan teknologi moden dalam pemantauan dan pengagihan air, pengurangan air tidak berhasil (non-revenue water), serta usaha memastikan kemudahan air bersih sampai ke kawasan luar bandar dan pedalaman, di samping menangani cabaran perubahan iklim yang mempengaruhi sumber air negeri.
Sarawak kaya dengan sumber air
Air ialah nadi kehidupan. Pengurusan air pintar pula ialah nadi kepada kelangsungan pembangunan Sarawak.
Ungkapan “pengurusan air pintar” merujuk kepada usaha menjadikan setiap sumber air lebih bernilai, setiap aset lebih cekap dan setiap keputusan lebih berasaskan data.
Sarawak mempunyai kelebihan sumber air yang besar, tetapi kekayaan sumber tidak dengan sendirinya menjamin bekalan air bersih dapat sampai dengan jayanya kepada setiap rakyat.
Yang diperlukan ialah infrastruktur yang baik, tadbir urus yang cekap, perlindungan kawasan tadahan, teknologi digital dan pelaburan berterusan.
Naratif pengurusan air pintar perlu bergerak daripada konsep pembekalan air kepada keselamatan air.
Dalam kerangka pembangunan Sarawak, matlamat akhirnya cukup jelas: tiada rakyat tercicir daripada akses kepada air bersih, tiada sumber air dibazirkan, dan tiada generasi akan datang dapat dinafikan hak terhadap sumber air yang mampan.
Infrastruktur asas kehidupan
Air bersih perlu dilihat sebagai infrastruktur asas kehidupan, sama pentingnya dengan tenaga, jalan raya dan telekomunikasi. Pertumbuhan penduduk, pembandaran, perkembangan industri serta perubahan iklim meningkatkan keperluan terhadap bekalan air yang stabil.
Justeru, matlamatnya bukan hanya memastikan air sampai ke rumah, tetapi memastikan bekalan mencukupi, berkualiti, berterusan dan berdaya tahan untuk generasi akan datang.
Konsep pengurusan air pintar memungkinkan teknologi digital digunakan sepanjang rantaian bekalan air – daripada sumber air mentah hingga ke paip pengguna.
Antara teknologi yang boleh dimanfaatkan ialah meter air pintar untuk membaca penggunaan secara masa nyata; sensor tekanan dan aliran bagi mengesan keabnormalan dalam paip; Supervisory Control and Data Acquisition (SCADA) dan pemantauan berpusat untuk mengawasi loji serta rangkaian pengagihan; kecerdasan buatan (AI) untuk mengenal pasti corak penggunaan dan meramalkan masalah; Geographic Information System (GIS) dan pemetaan digital untuk mengetahui kedudukan serta keadaan aset paip; dan analisis data untuk mengesan kebocoran air tidak berhasil (non-revenue water).
Dengan sistem sedemikian, kerosakan tidak semestinya hanya diketahui selepas pengguna mengadu. Sistem boleh memberi amaran lebih awal.
Mengurangkan kehilangan air
Salah satu cabaran terbesar pengurusan bekalan air ialah kehilangan air sepanjang sistem pengagihan akibat kebocoran, paip lama, tekanan tidak sesuai atau sambungan yang tidak terkawal.
Di sinilah pendekatan pintar mempunyai nilai strategik. Sensor dan analitik data boleh membantu menentukan di mana kehilangan berlaku, berapa besar kehilangan dan bahagian mana yang perlu diberi keutamaan untuk dibaiki.
Maka, setiap titisan air yang berjaya dijimatkan boleh dianggap sebagai sebahagian urusan meningkatkan kapasiti bekalan tanpa semestinya membina sumber baharu.
Keadaan geografi Sarawak menjadikan pendekatan one-size-fits-all kurang sesuai. Keperluan Kuching atau Miri tidak semestinya sama dengan kawasan pedalaman.
Di kawasan bandar, keutamaan mungkin tertumpu kepada kecekapan rangkaian, pengurangan kebocoran dan permintaan industri. Di Kawasan luar bandar pula, cabarannya mungkin melibatkan jarak, topografi, sumber air dan kos penyelenggaraan.
Teknologi seperti sistem rawatan berskala kecil, pemantauan jarak jauh, solar-powered pumping dan sistem bekalan air autonomi boleh membuka ruang kepada penyelesaian yang lebih sesuai untuk komuniti terpencil.
Perubahan iklim
Pengurusan air pintar juga perlu mengambil kira perubahan corak cuaca. Hujan lebat boleh meningkatkan risiko kekeruhan dan pencemaran sumber air, manakala tempoh kering yang panjang boleh mengurangkan ketersediaan air mentah.
Dengan data meteorologi, hidrologi dan penggunaan air yang digabungkan, kerajaan boleh membina sistem ramalan dan amaran awal.
Ini membolehkan tindakan diambil sebelum gangguan bekalan menjadi krisis.
Bina budaya pengguna
Pengurusan air pintar bukan semata-mata tugas kerajaan atau operator air. Pengguna juga merupakan sebahagian daripada sistem.
Meter pintar, misalnya, berupaya membolehkan pengguna mengetahui penggunaan harian mereka dan mengenal pasti pembaziran.
Sekolah, premis kerajaan, hotel, industri dan komuniti pula boleh menggunakan data tersebut untuk menetapkan sasaran penjimatan.
Dengan demikian, teknologi bukan sekadar alat pemantauan, tetapi menjadi alat membentuk budaya menghargai air.
Transformasi sistem bekalan air
Jika diteliti daripada perkembangan terkini, pengurusan air pintar Sarawak bukan sekadar agenda pendigitalan, tetapi sebahagian daripada transformasi menyeluruh sistem bekalan air – daripada sumber air mentah, loji rawatan, rangkaian paip, pemantauan dan pengesanan kebocoran, hinggalah penyampaian perkhidmatan kepada pengguna.
Sasaran kerajaan Sarawak untuk mencapai 100 peratus liputan bekalan air bersih menjelang tahun 2030 perlu dilihat dalam konteks PCDS 2030.
Pembangunan yang bukan sahaja mengejar pertumbuhan ekonomi, tetapi memastikan kemudahan asas dinikmati secara lebih adil oleh seluruh rakyat.
Pada 2025, liputan bekalan air luar bandar dilaporkan meningkat kepada sekitar 71 peratus, berbanding 61.9 peratus pada 2018.
SAWAS berperanan penting
Cabaran terbesar Sarawak ialah geografinya. Tidak semua kampung terpencil boleh menunggu sehingga rangkaian paip utama sampai.
Di sinilah Sarawak Alternative Water Supply (SAWAS) berperanan penting. Program ini menyediakan sistem bekalan air kepada penempatan terpencil yang belum dapat dihubungkan dengan grid utama.
Sistem yang sesuai dengan keadaan setempat, termasuk sistem graviti yang memerlukan tenaga dan bahan kimia yang minimum, diberi keutamaan. (Sumber: JBALB).
Pendekatan ini memperlihatkan prinsip ‘tiada rakyat tercicir’ dalam penyediaan kemudahan asas.
Penutup
Sasaran 100 peratus liputan air bersih menjelang 2030 bukan sekadar angka pembangunan infrastruktur. Ia merupakan ukuran sejauh mana kemajuan Sarawak dapat diterjemahkan kepada kualiti hidup rakyat – sama ada mereka tinggal di bandar, pinggir bandar, rumah panjang atau kampung terpencil.
Lebih penting lagi, pendekatan Kerajaan Sarawak kini memperlihatkan evolusi daripada “menyediakan air” kepada “mengurus air secara pintar”.