SIBURAN: Siburan berpotensi diangkat sebagai sebuah daerah baharu berikutan kedudukannya yang strategik serta pertumbuhan penduduk dan aktiviti ekonomi yang semakin pesat.
Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Dr Jerip Susil, berkata cadangan menjadikan Siburan sebagai sebuah daerah telah disuarakan sejak lebih 10 tahun lalu.
Menurutnya, kawasan Siburan termasuk Tapah dan Beratok mempunyai potensi besar untuk berkembang sebagai kawasan bandar penting serta berperanan sebagai bandar satelit kepada Kuching dan Serian pada masa hadapan.
“Cadangan untuk menjadikan Siburan sebagai sebuah daerah telah disuarakan sejak lebih 10 tahun lalu, mengambil kira kedudukannya yang strategik serta pertumbuhan penduduk dan aktiviti ekonomi yang semakin berkembang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Sambutan ‘Kiew Lian Tan Deities Birthday Celebration’ 2026, di sini pada Ahad.
Tambahnya, pembangunan secara bersepadu melibatkan tiga kawasan utama iaitu Tapah, Beratok dan Siburan perlu terus diberi perhatian bagi membentuk kawasan pertumbuhan yang lebih tersusun dan bersepadu.
Menurut Datuk Dr Jerip, penganjuran pelbagai pesta dan program di kawasan berkenaan turut menunjukkan potensi ekonomi setempat apabila menarik kehadiran pengunjung dari kawasan sekitar.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambong berkata, selain menyertai sambutan dan perayaan, pengunjung turut berbelanja di gerai makanan serta menyertai pelbagai aktiviti yang disediakan, sekali gus memberi limpahan ekonomi kepada penduduk dan kampung-kampung di sekitarnya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan Dewan Serbaguna Siburan menerima peruntukan RM5 juta daripada Kerajaan Sarawak bagi kerja-kerja pengubahsuaian dan penaiktarafan.
Peruntukan berkenaan turut meliputi usaha mendapatkan ‘Occupancy Permit’ (OP) serta penambahan kemudahan tempat letak kereta bagi meningkatkan keselesaan dan kegunaan dewan tersebut. -EDISI UKAS