Nada Muzik Semarak Hari Malaysia, Satukan Komuniti Miri
MIRI: Muzik menjadi medium menyatukan komuniti Miri menerusi persembahan ‘Malaysia Day Musical Recital’, ‘Dirgahayu Oh Tanah Airku’ sempena sambutan Hari Malaysia, pada Ahad.
Persembahan anjuran MOC dengan kerjasama Permaisuri Imperial City Mall itu turut menyediakan platform kepada pemuzik dan penyanyi sukarelawan untuk mengetengahkan bakat masing-masing, selain mendekatkan muzik kepada masyarakat umum.
Inisiatif berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha komuniti MOC, sebuah organisasi bukan berasaskan keuntungan yang bergantung kepada sokongan dan sumbangan orang ramai dalam meneruskan aktiviti serta menyediakan peluang dalam bidang pendidikan dan persembahan muzik.
Kerjasama tersebut turut menggalakkan penyertaan komuniti dan kesukarelawanan, selain menjadikan muzik sebagai medium interaksi yang mampu menghubungkan masyarakat daripada pelbagai latar belakang.
Persembahan yang berlangsung di Atrium 3, Aras 1, Permaisuri Imperial Mall itu membawa mesej bahawa muzik bukan sekadar hiburan, malah mampu memperkukuh semangat perpaduan dan menyemarakkan kecintaan terhadap negara.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew dan Datuk Bandaraya Miri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut, Adam Yii Siew Sang. -EDISI UKAS