RM170,000 Sokong Penganjuran Irau-Paskah Long Atip 2027
\MIRI: Sebanyak RM170,000 disumbangkan bagi menyokong persiapan penganjuran serta tujuan amal Irau-Paskah Long Atip 2027 menerusi Majlis Makan Malam Amal anjuran Gereja Borneo Evangelical Mission (BEM) Long Atip, di sini pada Ahad.
Daripada jumlah itu, RM70,000 disumbangkan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas manakala Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh Imigresen dan Pemantauan Projek) Datuk Gerawat Gala dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan, Dato Dennis Ngau masing-masing menyumbangkan sebanyak RM30,000.
Sementara itu, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew turut memberi sumbangan sebanyak RM20,000 manakala Ahli Parlimen Baram, Dato Anyi Ngau dan Datuk Bandar Miri merangkap ADUN Pujut, Adam Yii Siew Sang masing-masing menghulurkan RM10,000.
Selain sumbangan ini, Datuk Amar Douglas Uggah berkata, Kerajaan Sarawakm akan terus memastikan pembangunan negeri dilaksanakan secara inklusif dengan memberi perhatian kepada keperluan semua lapisan masyarakat, termasuk komuniti luar bandar dan institusi keagamaan.
Menurutnya, penubuhan Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) mencerminkan prinsip Kerajaan Sarawak dalam menjaga kepentingan semua rakyat tanpa mengira latar belakang agama.
“Kerajaan Sarawak terus menyediakan peruntukan tahunan kepada UNIFOR. Tahun ini, sebanyak RM120 juta diperuntukkan, termasuk RM90 juta bagi rumah-rumah ibadat dan RM30 juta untuk sekolah misi,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Datuk Amar Douglas Uggah turut menekankan kepentingan tadbir urus, integriti dan ketelusan dalam pengurusan peruntukan kerajaan bagi memastikan bantuan yang disalurkan digunakan mengikut tujuan yang diluluskan serta memberi manfaat kepada rakyat.
Dalam sudut pembangunan, beliau berkata Kerajaan Sarawak turut memberi keutamaan kepada pembinaan dan penaiktarafan infrastruktur, khususnya jalan raya dan jambatan, bagi meningkatkan hubungan antara kawasan luar bandar dengan bandar.
Majlis yang dihadiri kira-kira 850 tetamu itu turut diserikan dengan persembahan kebudayaan dan rohani masyarakat Kayan, selain kutipan dana amal bagi menyokong persiapan Irau-Paskah Long Atip 2027.
Turut hadir, Pengarah UNIFOR, Dato Georgina Apphia Ngau. -EDISI UKAS