Meradong Dijangka Alami Perubahan Ketara Dalam Dua Tahun
MERADONG: Daerah Meradong dijangka mengalami perubahan ketara dalam tempoh dua tahun akan datang susulan pelaksanaan pelbagai projek pembangunan di bawah seliaan Agensi Pembangunan Delta Rajang (RADDA).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata, beberapa projek telah mendapat kelulusan dan akan atau sedang dilaksanakan bagi meningkatkan kemudahan serta pembangunan kawasan berkenaan.
“Antara projek yang akan dan sedang dilaksanakan termasuk Pembinaan Kolam Renang Bintangor, Bangunan Sentral Market Bintangor, menaik taraf Waterfront Bintangor, menaik taraf Jalan Kampung Rancak menuju ke Bandar Bintangor serta Taman Rekreasi Bintangor.
“Selain itu, Anjung Usahawan turut dirancang untuk dibina berhampiran kawasan perumahan di Jambatan Merah Bintangor, yang dijangka memberi manfaat kepada komuniti setempat khususnya dalam aspek pembangunan ekonomi dan keusahawanan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Angkat Sumpah Ahli Jawatankuasa Baharu, Penyampaian Anugerah Kecemerlangan Akademik Anak-Anak Ahli serta Majlis Makan Malam Sempena Sambutan Perayaan Pertengahan Musim Luruh anjuran Persatuan Foochow Daerah Meradong, di sini pada Ahad.
Sementara itu, Datuk Ding turut merakamkan penghargaan kepada barisan kepimpinan terdahulu Persatuan Foochow Daerah Meradong atas sumbangan dan usaha mereka, selain mengucapkan tahniah kepada barisan jawatankuasa baharu yang mengangkat sumpah pada majlis berkenaan.
Beliau berharap kepimpinan baharu dapat meneruskan kerjasama dalam memperkukuh perpaduan serta memelihara dan mewariskan budaya dan tradisi masyarakat Foochow kepada generasi akan datang.
Dalam majlis sama, Datuk Ding telah menyampaikan geran khas berjumlah RM22,000 kepada Persatuan Foochow Daerah Meradong bagi menyokong aktiviti persatuan serta usaha memperkukuh perpaduan dan memelihara kebudayaan masyarakat Foochow. -EDISI UKAS