Golongan OKU Diberi Ruang Ketengahkan Bakat Di Mukah
MUKAH: Program ‘See The Ability Not Disability’ memberi ruang kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU) mengetengahkan bakat, kebolehan dan potensi mereka menerusi pelbagai aktiviti di Perpustakaan Awam Mukah, pada Sabtu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine berkata, program berkenaan menjadi platform untuk memperkenalkan kebolehan golongan OKU kepada masyarakat, sekali gus menggalakkan penerimaan dan sokongan terhadap mereka.
“Usaha menyediakan ruang sedemikian penting bagi memastikan golongan OKU dapat menyerlahkan potensi serta kebolehan masing-masing dalam suasana yang inklusif,” katanya semasa berucap pada program tersebut.
Program itu menampilkan pelbagai aktiviti termasuk Ekspresi Bakat, Seni Tanpa Sempadan dan permainan ringan yang memberi peluang kepada peserta menampilkan kreativiti serta kebolehan masing-masing, selain menggalakkan penyertaan golongan OKU dalam aktiviti kemasyarakatan.
Program turut diserikan dengan kehadiran peserta Miss Belia Sarawak, Tania Isabella McCabe, yang memberikan sokongan serta memeriahkan aktiviti berkenaan.
Turut hadir, Pegawai Daerah Mukah Peleadzman Ahip, wakil Residen Bahagian Mukah Josy Demei, Pengerusi Rakan Perpustakaan Mukah Moon Inal, Timbalan Pengerusi Majlis Daerah Dalat dan Mukah (MDDM) Semaon Yusof dan wakil Pusat Khidmat Mukah Michelle Elline Salehee. -EDISI UKAS