Jenazah Kapten Zainol Afiq Selamat Tiba Di KLIA, Dibawa Ke Senawang Untuk Dikebumikan
SEPANG: Jenazah Allahyarham Kapten Zainol Afiq Bee Sham, mangsa nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) di Long Lellang, Ulu Baram, Sarawak, selamat tiba di Kompleks Maskargo, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, pada Ahad.
Jenazah tiba pada kira-kira 2.18 petang menerusi penerbangan Malaysia Airlines MH2575 dari Miri yang berlepas pada 12.11 tengah hari dan tiba di Kuala Lumpur pada 2.18 petang.
Ketibaan jenazah disambut Pegawai Perhubungan Sarawak, Awang Supian Awang Daud, pegawai-pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Putrajaya, pegawai Pejabat Perhubungan Sarawak Kuala Lumpur serta wakil Layang-Layang Aerospace.
Turut bersama jenazah dalam penerbangan dari Miri ialah isteri dan anak-anak serta ibu bapa Allahyarham.
Jenazah kemudiannya akan dibawa ke Masjid Bandar Baru Senawang untuk disolatkan, dengan solat jenazah akan diimamkan oleh bapa Allahyarham, Bee Sham Ahmad.
Allahyarham seterusnya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Senawang.
Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan dua orang anak. -EDISI UKAS