Pay & Go eDonation Permudah Sumbangan Digital Kepada Masyarakat Memerlukan
KUCHING: Platform Pay & Go eDonation menyediakan saluran digital yang lebih mudah dan selesa kepada orang ramai untuk menyalurkan sumbangan kepada badan kebajikan dan kemanusiaan.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, kemudahan berkenaan mencerminkan bagaimana teknologi boleh dimanfaatkan untuk memperkukuh usaha kebajikan dan kemanusiaan.
Menurut beliau, perkembangan teknologi bukan sahaja mengubah cara masyarakat berkomunikasi, menjalankan urusan perniagaan dan membuat pembayaran, malah turut membuka ruang baharu dalam penyampaian sumbangan serta bantuan kepada golongan yang memerlukan.
“Selain teknologi, platform dan transaksi digital, apa yang sebenarnya kita raikan pada hari ini adalah sesuatu yang jauh lebih bermakna,” ujarnya.
Beliau berkata demikian semasa berucal pada Majlis Pelancaran Rasmi Platform Pay & Go eDonation dan Majlis Menandatangani Perjanjian Kerjasama eDonation antara ‘Malaysian Red Crescent Society’ (MRCS) Sarawak Chapter dan Pay & Go Sdn Bhd, di sini pada Isnin.
Katanya, kemudahan menyalurkan sumbangan secara digital amat penting khususnya kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kerana proses yang lebih mudah dapat membantu menggalakkan penyertaan masyarakat dalam usaha kebajikan dan kemanusiaan.
“Kerjasama antara MRCS Sarawak Chapter dan Pay & Go Sdn Bhd menunjukkan bagaimana sektor kemanusiaan dan teknologi boleh menggabungkan kepakaran serta sumber masing-masing untuk mencapai matlamat bersama,” katanya.
Tambah beliau lagi, platform tersebut juga berpotensi menarik lebih ramai golongan muda untuk terlibat dalam aktiviti kebajikan, selaras dengan kebiasaan mereka menggunakan platform digital dalam urusan harian.
Menurutnya, pendekatan sedemikian penting bagi memastikan usaha kebajikan dan kemanusiaan terus relevan serta dapat disampaikan melalui saluran yang mudah diakses oleh masyarakat.
Dalam pada itu, Dato Sri Fatimah memuji Pay & Go Sdn Bhd kerana memanfaatkan keupayaan teknologi untuk tujuan sosial yang lebih luas, selain berharap lebih banyak syarikat di Sarawak meneroka kerjasama seumpama itu bersama organisasi kemanusiaan dan komuniti. -EDISI UKAS