Bintulu Perkasa Pembangunan Bakat Muda Dalam Sukan Memanah
BINTULU: Penganjuran pertandingan dan latihan secara berterusan dilihat mampu memperkukuh pembangunan bakat muda dalam sukan memanah di Bintulu untuk diketengahkan ke peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming berkata, penglibatan golongan belia dalam sukan berkenaan perlu terus digalakkan bagi melahirkan lebih ramai pemanah berpotensi.
Menurutnya, sukan memanah mempunyai prospek besar untuk dikembangkan memandangkan ia merupakan antara sukan yang dipertandingkan dalam temasya utama seperti Sukan Olimpik dan Sukan Malaysia (SUKMA).
“Latihan secara konsisten serta bimbingan yang bersesuaian penting bagi membantu peserta meningkatkan kemahiran dan prestasi mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pertandingan Indoor 10m Recurve Archery anjuran Bintulu Chinese Youth Association dan dihoskan oleh Bintulu Hokkien Association Youth Association di Yume Great Sports, di sini pada Ahad.
Johnny Pang turut menggalakkan lebih ramai belia menyertai latihan dan pertandingan memanah sebagai platform mengembangkan bakat serta minat mereka dalam sukan berkenaan.
Katanya, penganjuran pertandingan secara berterusan serta pemanfaatan kemudahan dan kepakaran sedia ada dapat menyediakan lebih banyak peluang kepada pemanah muda untuk mendapatkan pengalaman pertandingan dan mengukur tahap prestasi masing-masing.
Usaha tersebut juga penting bagi mewujudkan laluan pembangunan bakat yang lebih tersusun, sekali gus memberi peluang kepada pemanah muda Bintulu untuk melangkah ke peringkat yang lebih tinggi. -EDISI UKAS