KUCHING: Kempen ‘Greening Sarawak’ kendalian Jabatan Hutan Sarawak (JHS) menerima pengiktirafan ASEAN Green Initiative (AGI) 2026 bagi kategori Inisiatif Penanaman Pokok Berskala Besar.
Pengiktirafan berkenaan mencerminkan komitmen Sarawak dalam pemulihan landskap hutan, pemuliharaan biodiversiti dan penghijauan negeri menerusi penanaman spesies pokok asli.
Menurut JHS, sebanyak 290,846 pokok daripada spesies terancam yang disenaraikan dalam Senarai Merah IUCN telah ditanam menerusi Kempen Greening Sarawak sepanjang tempoh 2021 hingga 2025.
“Pokok yang ditanam terdiri daripada spesies yang dikategorikan sebagai Terancam dan Rentan, sekali gus menyokong usaha pemulihan ekosistem serta pemuliharaan biodiversiti di Sarawak,” ujar agensi berkenaan menerusi satu kenyataan media, pada Ahad.
Pengiktirafan tersebut disampaikan pada Majlis Pengiktirafan ASEAN Green Initiative Ke-2 di Quezon City, Filipina pada 9 September 2026.
Untuk rekod, AGI merupakan program pengiktirafan serantau yang dilaksanakan oleh ‘ASEAN Centre for Biodiversity’ (ACB) bagi mengiktiraf inisiatif penanaman pokok yang menyumbang kepada peningkatan litupan pokok dan pemulihan ekosistem di rantau ASEAN.
Program tersebut turut menggalakkan penanaman spesies pokok asli sebagai salah satu pendekatan menyokong pemuliharaan biodiversiti dan pemulihan ekosistem.
Ketua Bahagian Pemulihan dan Hutan Ladang (RIFD) JHS, Zarina Shebli menerima pengiktirafan berkenaan bagi pihak Pengarah Hutan Sarawak. -EDISI UKAS