MPKS Antara Sembilan PBT Cemerlang, Raih 5 Bintang PBAT 2026
PULAU PINANG: Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) muncul antara sembilan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh Malaysia yang mencapai Penarafan 5 Bintang dalam Penarafan Bintang Audit Teknikal (PBAT) 2026.
Pencapaian itu melayakkan MPKS menerima Pengiktirafan PBT Cemerlang bagi Audit Teknikal PBT Tahun 2026, sekali gus membuktikan tahap kecemerlangan majlis dalam pengurusan dan penyampaian perkhidmatan kesihatan persekitaran.
Penarafan PBAT menilai tahap pengurusan dan pelaksanaan perkhidmatan kesihatan persekitaran di PBT, merangkumi aspek pentadbiran dan pengurusan, pematuhan prosedur kewangan, pengurusan aset alih, kawalan penyakit vektor dan perosak serta pengurusan bahan kimia.
Ia turut meliputi kawalan pusat sembelihan dan pasar, haiwan terbiar serta program kawalan dan keselamatan makanan, yang mempunyai kaitan langsung dengan kesejahteraan dan keselamatan masyarakat.
Pengerusi MPKS, Abang Ismawi Abang Ali berkata, pencapaian tersebut merupakan hasil kerja berpasukan serta kesungguhan seluruh warga MPKS dalam memastikan pengurusan dan penyampaian perkhidmatan kesihatan persekitaran sentiasa berada pada tahap terbaik.
“Penarafan 5 Bintang PBAT ini merupakan hasil kerja berpasukan serta kesungguhan seluruh warga MPKS dalam memastikan pengurusan dan penyampaian perkhidmatan kesihatan persekitaran sentiasa berada pada tahap terbaik,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media berhubung penerimaan Pengiktirafan PBT Cemerlang bagi Audit Teknikal PBT Tahun 2026.
Menurut beliau, pengiktirafan tersebut diharap menjadi pemangkin kepada seluruh warga MPKS untuk terus memperkukuh budaya kerja cemerlang, meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan serta melaksanakan penambahbaikan secara berterusan demi kesejahteraan, keselesaan dan keselamatan masyarakat.
Pengiktirafan berkenaan disampaikan oleh Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu, sempena Konvensyen PBT anjuran Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di Bertam Resort, Pulau Pinang pada 12 dan 13 September 2026. -EDISI UKAS