Projek Sakit SK Kampung Selanyau Diberi Perhatian Serius
SUBIS: Projek pembinaan gantian penuh Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Selanyau, Subis yang dikategorikan sebagai projek sakit diberi perhatian serius bagi memastikan kemudahan pendidikan bernilai RM9.89 juta itu dapat disiapkan segera untuk dimanfaatkan warga sekolah.
Perkara tersebut menjadi tumpuan dalam lawatan kerja Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn ke sekolah berkenaan pada Sabtu.
Projek berkenaan melibatkan pembinaan bilik darjah, bangunan pentadbiran, makmal, rumah guru serta kemudahan lain bagi menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih selesa dan kondusif kepada murid serta warga sekolah.
Projek itu menerima serahan tapak pada Mei 2021 dengan tarikh siap asal pada Julai 2022, namun mengalami kelewatan sebelum dikategorikan sebagai projek sakit.
Dalam lawatan itu, Dato Sri Roland menegaskan semua pihak berkaitan perlu mengambil tanggungjawab masing-masing dan memastikan kerja pembinaan dapat diselesaikan segera mengikut tempoh yang ditetapkan.
Beliau turut menekankan supaya kemudahan serta kelengkapan yang disediakan bersesuaian dengan keperluan sekolah agar dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh murid dan warga sekolah.
Turut hadir, Timbalan Menteri Luar Negeri merangkap Ahli Parlimen Sibuti, Dato Lukanisman Awang Sauni dan Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Dr Annuar Rapaee. -EDISI UKAS