Jerebu Rentas Sempadan: Malaysia-Indonesia Disaran Cari Penyelesaian Bersama
BANGKOK: Malaysia dan Indonesia disaran memperkukuh kerjasama bagi mencari penyelesaian lebih berkesan terhadap isu jerebu rentas sempadan yang kembali menjejaskan rantau ini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, beliau telah mengemukakan cadangan kepada Perdana Menteri supaya perbincangan bersama Kerajaan Indonesia dapat diadakan bagi mencari kaedah terbaik menangani masalah berkenaan.
“Kali ini saya telah mencadangkan kepada Perdana Menteri supaya berbincang dengan kerajaan Indonesia untuk mencari kaedah dan jalan penyelesaian terhadap masalah ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sesi ‘fireside chat’ sempena GASTECH 2026 di Bangkok International Trade and Exhibition Centre (BITEC), di sini pada Isnin.
Datuk Patinggi Abang Zohari menambah, isu jerebu rentas sempadan bukan perkara baharu memandangkan Sarawak pernah berdepan situasi sama kira-kira 20 tahun lalu.
Menurut beliau, Sekretariat ASEAN juga perlu memainkan peranan lebih aktif dengan meneroka pendekatan yang dapat mempercepatkan usaha menangani kebakaran hutan, sekali gus mengurangkan risiko jerebu rentas sempadan.
Beliau mengambil contoh penggunaan pesawat ‘water bomber’ di Kanada yang mampu mengambil air dari sungai atau empangan untuk membantu memadam kebakaran dengan lebih pantas.
“Saya berharap para pemimpin ASEAN akan mengambil isu ini dengan serius dan mencari penyelesaian terhadapnya,” katanya.
Dalam pada itu, Premier Sarawak menegaskan setiap negara mempunyai tanggungjawab untuk memelihara alam sekitar dan mengurangkan pelepasan karbon, khususnya dalam mendepani cabaran perubahan iklim.
Katanya, perkara itu perlu diberi perhatian serius memandangkan Sarawak turut mempunyai kawasan tanah gambut yang memerlukan pengurusan berkesan bagi mengurangkan risiko kebakaran serta kejadian jerebu berulang.
“Sebagai sebuah negara, kita perlu menjaga alam sekitar dan berusaha mengurangkan pelepasan karbon. Perkara ini amat penting kerana ia berkait dengan isu perubahan iklim dan kesan daripada perubahan iklim,” katanya. -EDISI UKAS