Sarawak Sasar Jadi Pembekal Tenaga ASEAN Menjelang 2030
BANGKOK: Sarawak menyasarkan untuk muncul sebagai antara pembekal utama tenaga di rantau ASEAN menjelang 2030 dipacu peningkatan kapasiti penjanaan tenaga boleh baharu serta pengukuhan kerjasama tenaga serantau.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, Sarawak menyasarkan kapasiti penjanaan tenaga sekitar 10 gigawatt (GW) menjelang 2030 sebelum meningkat kepada 15GW pada 2035, berbanding keperluan domestik sekitar enam hingga tujuh GW.
“Lebihan ini akan menjadi sebahagian daripada usaha kita untuk mewujudkan jaringan tenaga hijau ASEAN,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sesi ‘fireside chat’ sempena GASTECH 2026 di Bangkok International Trade and Exhibition Centre (BITEC), di sini pada Isnin.
Menurut beliau, Sarawak kini dalam perbincangan dengan Singapura untuk membekalkan satu GW tenaga melalui kabel dasar laut, selain meneruskan bekalan tenaga ke Kalimantan, Indonesia serta merancang membekalkan tenaga ke Brunei Darussalam pada 2028.
Katanya, antara cabaran utama dalam merealisasikan Jaringan Kuasa ASEAN (ASEAN Power Grid) adalah untuk mewujudkan kerangka kawal selia dan persefahaman bersama dalam kalangan negara anggota.
Dalam pada itu, Datuk Patinggi Abang Zohari berkata, pertumbuhan ekonomi dan agenda penyahkarbonan perlu bergerak seiring, dengan kira-kira 60 peratus tenaga Sarawak ketika ini dijana daripada hidro, manakala selebihnya daripada sumber seperti biojisim, solar dan gas asli.
Beliau turut menjangkakan hidrogen akan menjadi lebih berdaya maju secara komersial sekitar 2030 hingga 2035, seiring kemajuan teknologi yang mampu mengurangkan kos pengeluaran.
Mengenai teknologi pemerangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS), beliau berkata, Sarawak berpotensi memanfaatkan lapangan minyak luar pesisir yang tidak lagi produktif sebagai lokasi penyimpanan karbon, termasuk menerusi projek Kasawari.
Tambahnya, Sarawak turut mempunyai kelebihan dengan 62 peratus litupan hutan yang berfungsi sebagai penyerap karbon, selain berpotensi memanfaatkan hasil daripada karbon, minyak dan gas untuk dilaburkan semula dalam pembangunan modal insan.
Mengulas sasaran Sarawak menjelang 2030, beliau berkata, Sarawak mahu dikenali bukan sahaja sebagai pembekal tenaga malah sebagai rakan strategik dalam perkongsian tenaga serantau.
“Kita mahu dikenali sebagai pembekalan tenaga kepada ASEAN dan perkongsian tenaga bagi kita bergerak ke hadapan untuk masa depan,” katanya. -EDISI UKAS