MIRI: Sumbangan kepada Majlis Pengakap Daerah Miri kini berjumlah RM35,000 selepas Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala mengumumkan tambahan RM6,000 pada Majlis Apresiasi Pengakap Daerah Miri 2026.
Datuk Gerawat yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu berkata, Pergerakan Pengakap perlu terus menjadi platform penting dalam membentuk generasi muda yang berdisiplin, berintegriti, berkeyakinan dan mempunyai nilai kemanusiaan.
Beliau berkata, pembangunan generasi muda tidak seharusnya hanya tertumpu kepada pencapaian akademik dan kerjaya, sebaliknya perlu turut memberi penekanan kepada pembentukan sahsiah serta nilai kemanusiaan.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Apresiasi Pengakap Daerah Miri 2026 di Imperial Palace Hotel, di sini pada Sabtu.
Menurutnya, perkembangan kecerdasan buatan (AI), ekonomi digital, ekonomi hijau dan teknologi bakal mengubah dunia pekerjaan serta kehidupan generasi akan datang, namun nilai kemanusiaan kekal menjadi asas penting.
Katanya, konsep ‘Be Prepared’ dalam Pergerakan Pengakap bukan sekadar persediaan menyertai aktiviti, tetapi turut merangkumi kesediaan menghadapi cabaran, kegagalan dan tanggungjawab dalam kehidupan.
Datuk Gerawat turut mengingatkan ahli pengakap supaya mengejar pendidikan, kerjaya dan kejayaan tanpa mengorbankan nilai integriti serta sentiasa menghormati dan menghargai perbezaan dalam masyarakat.
Beliau menyifatkan Pengakap Miri sebagai antara pergerakan yang cemerlang di Sarawak dan memainkan peranan penting dalam pembentukan karakter generasi muda.
Majlis anjuran Majlis Pengakap Daerah Miri dan Majlis Pesuruhjaya Pengakap Daerah Miri itu turut menyaksikan penyampaian watikah pelantikan, sijil penghargaan, hadiah aktiviti tahunan, Anugerah 111 Tahun Pengakap Sarawak serta pengalungan Rambu Pengakap Kanak-kanak.
Turut hadir, Naib Yang Dipertua Majlis Pengakap Negara merangkap Timbalan Yang Dipertua Majlis Pengakap Sarawak Dato Mohamad Safri Datuk Abdillah, Pesuruhjaya Pengakap Daerah Miri Mary Karl, Pesuruhjaya Pengakap Kawasan 5 Empari Hong, Pegawai Pendidikan Daerah Miri Jumari Hashim dan Pengerusi Majlis Pengakap Daerah Miri Caroline Siburat. -EDISI UKAS