Pasukan Robotik SMK Chung Hua Miri Raih Empat Pingat Di NRC 2026
MIRI: Pasukan Up Up CHM Robotics dari SMK Chung Hua (CF) Miri meraih satu pingat emas, dua perak dan satu gangsa pada National Robotics Competition (NRC) National Final 2026 di INTI International University, Nilai, Negeri Sembilan, dari 6 hingga 10 September lalu.
Pengetua SMK Chung Hua (CF) Miri, Lai Jia Ling berkata, pencapaian itu membuktikan komitmen berterusan pelajar, guru dan jurulatih dalam mengembangkan potensi, kreativiti serta kemahiran inovasi menerusi bidang robotik.
Pasukan Robosports Double Tennis yang dianggotai Sim Zhi Yang, Varick Yong Yu Heng dan Jason Voon Qing Rui muncul juara kategori berkenaan dan bakal mewakili Malaysia ke ‘World Robot Olympiad’ (WRO) International Final 2026 di Puerto Rico pada 8 hingga 10 Disember depan.
Pasukan Robomission Pro Senior yang dianggotai Dexter Yong Shawn, Keith Lee Yee Hern dan Chloe Kiu Wei Han turut melayakkan diri ke pentas antarabangsa selepas meraih pingat perak.
Sementara itu, pasukan Future Innovators Senior yang dianggotai Deborah Liau Song Ling, Lee Jia Qian dan Ong Chi Hui meraih pingat perak, manakala pasukan Robomission Pro Lower yang dibarisi Chieng Siew Jing Warren, Kieran Chia Yuen Soong dan Wilson Voon Qing Ye menyumbang pingat gangsa.
Menurut Lai, penyertaan dalam pertandingan robotik bukan sahaja meningkatkan kemahiran teknologi dan kreativiti pelajar, malah membentuk keupayaan menyelesaikan masalah, kerja berpasukan, disiplin dan ketahanan diri.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak, Pejabat Pendidikan Daerah Miri, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), pengurusan sekolah, ibu bapa serta jurulatih, Darren Ng atas sokongan dan bimbingan yang diberikan.
Lai berharap pasukan yang bakal beraksi di Puerto Rico kekal fokus dan merendah diri serta memanfaatkan pengalaman di peringkat kebangsaan sebagai persediaan menghadapi saingan antarabangsa. -EDISI UKAS