PADAWAN: Suasana hiba menyelubungi upacara pengebumian mendiang Debra Moset, jururawat yang terkorban dalam tragedi nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) di Long Lellang, Ulu Baram.
Mendiang selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Anglikan Saint Patrick’s Chapel, Kampung Semadang di sini pada Isnin.
Kira-kira 500 orang terdiri daripada ahli keluarga, sanak saudara, rakan-rakan, warga Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), pemimpin tempatan serta masyarakat setempat hadir memberikan penghormatan terakhir kepada mendiang.
Upacara penghormatan terakhir yang berlangsung di Saint Patrick’s Chapel turut diselubungi kesedihan sebelum jenazah dibawa ke tanah perkuburan untuk disemadikan.
Kehadiran orang ramai mencerminkan rasa kehilangan mendalam, selain penghargaan terhadap jasa dan pengorbanan mendiang dalam memberikan perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat, khususnya di kawasan luar bandar.
Mendiang telah menabur bakti lebih 10 tahun dalam bidang kejururawatan dan dikenali sebagai seorang petugas yang komited serta berdedikasi dalam melaksanakan tanggungjawabnya.
Beliau meninggalkan seorang suami dan dua orang anak.
Dalam tragedi pada 8 September lalu, helikopter jenis BO-105 yang membawa mendiang bersama empat lagi mangsa terhempas di Long Lellang ketika dalam perjalanan melaksanakan tugas perkhidmatan kesihatan luar bandar.
Tragedi itu meragut nyawa petugas yang sedang menjalankan amanah, sekali gus meninggalkan kesan mendalam kepada keluarga, rakan sekerja serta masyarakat yang mengenali mereka.
Pemergian mendiang merupakan kehilangan besar kepada keluarga dan warga perkhidmatan kesihatan, namun jasa, dedikasi serta pengorbanannya dalam menjalankan amanah kepada masyarakat akan terus dikenang. -EDISI UKAS