Kompleks UNIFOR Gambaran Model Keharmonian Terbaik Malaysia
KUCHING: Kompleks Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) menjadi gambaran model keharmonian terbaik Malaysia dalam memperlihatkan pendekatan Sarawak terhadap kepelbagaian agama dan kehidupan bermasyarakat secara aman.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, kewujudan kompleks tersebut mencerminkan komitmen Sarawak dalam memastikan masyarakat daripada pelbagai latar belakang agama dapat hidup dalam suasana saling menghormati dan harmoni.
“Kompleks UNIFOR ini merupakan gambaran model keharmonian terbaik Malaysia, yang menunjukkan bagaimana kepelbagaian agama boleh diraikan dan diurus dalam suasana saling menghormati serta hidup bersama sebagai satu masyarakat,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian dalam amanat yang dibacakan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, pada Majlis Kesyukuran Agama-Agama Lain sempena Sambutan Hari Malaysia 2026 di sebuah hotel, di sini pada Isnin.
Menurut beliau, pendekatan Sarawak terhadap keharmonian agama bukan sekadar melalui kata-kata, sebaliknya diterjemahkan menerusi dasar dan institusi yang memberi ruang kepada komuniti agama-agama lain untuk berkembang serta menyumbang kepada pembangunan negeri.
Atas dasar itu, Kerajaan Sarawak meluluskan keseluruhan RM685 juta kepada UNIFOR sejak 2017, termasuk RM120 juta bagi peruntukan tahun 2026 untuk menyokong rumah ibadat dan sekolah-sekolah mubaligh.
Beliau berkata, kepercayaan merupakan antara asas penting dalam membina masyarakat yang kukuh, selain pembangunan fizikal seperti jalan raya, jambatan, pelabuhan, tenaga dan keterhubungan digital.
Menurut beliau lagi, setiap agama mengajar nilai belas kasihan, keamanan, menghormati jiran dan mengambil berat terhadap masyarakat, yang perlu diterjemahkan dalam kehidupan seharian.
Dalam konteks Sarawak, katanya, kepelbagaian agama dan budaya bukan penghalang kepada perpaduan, sebaliknya menjadi kekuatan yang membentuk identiti masyarakat negeri ini.
Beliau turut menegaskan bahawa kebebasan mengamalkan agama masing-masing perlu disertai tanggungjawab untuk menghormati kepercayaan dan amalan masyarakat lain.
Pendekatan tersebut, katanya, membolehkan Sarawak terus mengekalkan suasana aman dan harmoni meskipun masyarakatnya terdiri daripada pelbagai agama, budaya dan latar belakang.
Turut hadir, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Professor Dr Sim Kui Hian, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap Menteri Bertanggungjawab Sambutan Hari Malaysia 2026 Peringkat Kebangsaan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Timbalan Menteri Bertanggungjawab Majlis Kesyukuran Agama-Agama Lain sempena Sambutan Hari Malaysia 2026, Datuk Dr Jerip Susil dan Pengarah UNIFOR, Dato Georgina Apphia Ngau serta dif-dif kehormat lain. -EDISI UKAS