Hari Malaysia 2026: Persiapan Akhir Diperhalusi, Aspek Teknikal Jadi Tumpuan
KUCHING: Persiapan Sambutan Hari Malaysia 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) kini memasuki peringkat akhir dengan aspek teknikal, kemudahan media dan kelancaran persembahan diberi perhatian menjelang acara kemuncak pada 16 September ini.
Menteri Komunikasi, Dato Sri Fahmi Fadzil berkata, tinjauan semasa raptai penuh pada Isnin mendapati persiapan berjalan lancar, termasuk kemudahan untuk pengunjung serta kesiapsiagaan capaian internet bagi petugas media.
“Saya telah bercakap dengan pihak MCMC untuk pastikan bagi rakan-rakan media, akses kepada internet, sama ada WiFi ataupun ‘mobile’ adalah lebih daripada baik, cukup untuk rakan-rakan media menjalankan tugas,” katanya pada Isnin.
Menurut beliau, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memaklumkan semua peralatan yang diperlukan daripada syarikat telekomunikasi telah siap dipasang dan berfungsi dengan baik.
Dalam pada itu, aspek teknikal persembahan khususnya audio turut diperhalusi bagi memastikan perjalanan acara dan persembahan berlangsung lancar.
Dato Sri Fahmi turut menyaksikan raptai penuh yang menampilkan persembahan budaya dari Semenanjung Malaysia, Sarawak dan Sabah serta beberapa acara simbolik sempena sambutan berkenaan.
Turut hadir Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap Menteri Bertanggungjawab di Peringkat Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah serta Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Dr Ripin Lamat.
Sambutan pada 16 September itu dijadual dihadiri Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Perdana Menteri, Dato Seri Anwar Ibrahim, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Jaed Tepus