SK Beluru Central Nikmati Kemudahan Baharu Menerusi Projek RM20 Juta
BELURU: Pembangunan semula Sekolah Kebangsaan (SK) Beluru Central bernilai RM20 juta kini menyediakan kemudahan pendidikan yang lebih selesa dan kondusif kepada murid luar bandar.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, projek berkenaan merupakan sebahagian daripada inisiatif pembangunan semula sekolah daif di Sarawak di bawah peruntukan RM1 bilion.
Menurut beliau, pelaksanaan projek itu mencerminkan komitmen Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak dalam memastikan murid luar bandar menikmati kemudahan pendidikan yang setara dengan sekolah di bandar.
“Namun, kemudahan fizikal perlu disokong dengan sistem pendidikan berkualiti, guru berkemahiran serta persekitaran pembelajaran yang mampu melahirkan generasi berilmu, berdaya saing dan bersedia menghadapi cabaran masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Projek Cadangan Pembangunan Semula Sekolah Daif di Negeri Sarawak di bawah Peruntukan RM1 Bilion bagi SK Beluru Central, di sini pada Isnin.
Projek yang dilaksanakan dari Jun 2020 hingga Mei 2024 itu melibatkan pembinaan blok pentadbiran, blok akademik, asrama lelaki dan perempuan serta dewan makan.
Selain SK Beluru Central, inisiatif pembangunan semula sekolah daif turut melibatkan enam projek lain iaitu SJK(C) Hua Kong, SK Sungai Buri, SK Sungai Bakas, SK Lapok, SK Sungai Jaong dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Marudi.
Turut hadir, Ahli Parlimen Baram Dato Anyi Ngau, Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Marudi Datuk Dr. Penguang Manggil, Timbalan Setiausaha Tetap, Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD) Caroline Cleophas Joseph dan Guru Besar SK Beluru Central Andrew Entili.- EDISI UKAS