Semangat Hari Malaysia Diterjemah Melalui Perkhidmatan Demi Rakyat
KUCHING: Semangat kebersamaan perlu terus menjadi tonggak dalam membina Malaysia yang lebih matang, seimbang serta menghargai kekuatan dan keunikan setiap wilayah serta rakyatnya.
Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki berkata, perjalanan 63 tahun pembentukan Malaysia sarat dengan pelbagai pengalaman, suka dan duka serta cabaran yang menguji ketahanan dan kebersamaan rakyat.
Menurut beliau, setiap fasa integrasi nasional telah mengajar bahawa kekuatan sebenar Malaysia bukan sekadar terletak pada pencapaian yang diraih, tetapi juga keupayaan rakyat untuk terus saling memahami, menghormati dan mempercayai antara satu sama lain.
“Masih banyak yang perlu kita usahakan. Dalam melangkah ke hadapan, semangat kebersamaan harus kekal menjadi tonggak dalam melahirkan sebuah Malaysia yang lebih matang, seimbang dan menghargai kekuatan setiap wilayah serta rakyatnya,” katanya dalam perutusan sempena Hari Malaysia 2026.
Dalam pada itu, beliau berkata, Perkhidmatan Awam Sarawak perlu menterjemahkan semangat berkenaan menerusi iltizam dalam penyampaian perkhidmatan bagi memastikan pembangunan benar-benar dirasai rakyat.
Tambahnya, Sarawak akan terus menggalas peranannya dalam mencorak masa depan negara dengan membawa kekuatan, keunikan dan aspirasi tersendiri demi sebuah Malaysia yang lebih maju, makmur dan berdaya tahan.-EDISI UKAS