Lima Projek Pelancongan RM31 Juta Bakal Ubah Landskap Sadong Jaya
KOTA SAMARAHAN: Lima projek pembangunan pelancongan bernilai keseluruhan sekitar RM31 juta bakal memberi dimensi baharu kepada landskap Sadong Jaya.
Perkembangan itu susulan lawatan tapak Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang, bersama Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Aidel Lariwoo, ke kawasan berkenaan bagi meninjau perkembangan perancangan projek tersebut.
Projek di bawah Jawatankuasa Pelancongan itu bukan sahaja memberi penekanan kepada pembangunan dan pengindahan kawasan, malah dirancang untuk mewujudkan nilai sosioekonomi yang dapat memberi manfaat kepada penduduk setempat.
Antara komponen yang dirancang ialah Dataran Warisan Sadong Jaya, Titian Sadong Jaya dan Galeri Warisan, yang akan menjadi sebahagian daripada usaha menambah nilai serta daya tarikan kawasan berkenaan.
Pelaksanaan projek tersebut memperlihatkan pendekatan pembangunan pelancongan yang tidak hanya tertumpu kepada perubahan fizikal, sebaliknya turut mengambil kira potensi pelancongan sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi masyarakat setempat.
Apabila siap kelak, kelima-lima komponen itu dijangka mengubah landskap Sadong Jaya serta memperkukuh potensinya sebagai destinasi pelancongan luar bandar, khususnya dengan mengetengahkan elemen warisan dan tarikan tempatan.
Dalam perkembangan berkaitan, keseluruhan projek telah mendapat kelulusan seperti yang dinyatakan dalam sesi berkenaan, dengan proses semasa memberi tumpuan kepada reka bentuk dan kelulusan di peringkat kerajaan negeri.
Bagi memastikan pelaksanaan projek dapat bergerak ke fasa seterusnya, projek berkenaan akan dibawa kepada Sub-Project Delivery Committee (SPDC) bagi mendapatkan kelulusan bangunan sebelum proses tender dilaksanakan.
Tender disasarkan berlangsung antara Oktober hingga Disember, tertakluk kepada proses dan kelulusan berkaitan.
Dalam pada itu, kerjasama antara agensi terus diperkukuh bagi menyelesaikan perkara berkaitan aspek teknikal dan pelancongan serta memastikan perancangan pembangunan dapat direalisasikan.-EDISI UKAS