2,000 Pokok Durian Pacu Potensi Pertanian Komersial Di Raso
LUNDU: Kawasan Raso berpotensi berkembang sebagai antara kawasan tanaman durian komersial di DUN Opar dengan kira-kira 2,000 pokok durian sedang diusahakan, sekali gus membuka peluang meningkatkan pendapatan pengusaha serta merancakkan sektor pertanian setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang berkata, potensi itu boleh terus dikembangkan berdasarkan kesesuaian tanah di kawasan berkenaan, selain menjadi contoh kepada penduduk lain untuk menceburi tanaman durian apabila hasil daripada pengusaha sedia ada mula diperoleh.
Menurutnya, meskipun durian merupakan tanaman bermusim, komoditi berkenaan mempunyai nilai komersial yang tinggi sekiranya diusahakan dan diurus dengan baik, khususnya melibatkan kawasan tanaman berskala besar.
Terdahulu, Billy menyempurnakan Majlis Penyerahan Input Pertanian Bagi Program Skim Pemangkin Transformasi Agrokomersial Tanaman Durian di Raso, di sini pada Isnin.
Sehubungan itu, beliau berkata, bantuan input pertanian kepada pengusaha merupakan antara usaha penting bagi membantu meningkatkan pengurusan kebun, produktiviti tanaman dan seterusnya potensi pendapatan mereka.
Seramai 10 pengusaha tanaman durian di sekitar Raso menerima input pertanian menerusi Program Skim Pemangkin Transformasi Agrokomersial Tanaman Durian yang merangkumi baja serta bahan kawalan rumpai dan serangga pada Selasa.
Billy menambah, aspek penjagaan tanaman perlu diberikan perhatian termasuk pengurusan rumpai, kawalan serangga dan penyediaan bekalan air mencukupi, terutama pada peringkat awal pertumbuhan pokok.
Beliau turut mencadangkan penggunaan sistem pam dan tangki sebagai antara kaedah praktikal bagi memastikan bekalan air dapat disalurkan ke kawasan kebun dengan lebih berkesan.
Dalam pada itu, beliau berharap bantuan tersebut dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh penerima, selain menjadi pemangkin kepada lebih ramai penduduk setempat untuk melihat sektor pertanian sebagai bidang yang mempunyai prospek ekonomi.-EDISI UKAS