BARAM: Kerajaan menerusi Lembaga Lada Malaysia (MPB) terus memperkasa pekebun lada di Baram menerusi pelbagai bantuan, insentif dan khidmat teknikal bagi meningkatkan hasil tanaman serta pendapatan peserta.
Pengerusinya, Dato Anyi Ngau berkata, sehingga Ogos tahun ini, sebanyak RM150,000 telah disalurkan bagi pelaksanaan bantuan tanaman lada di kawasan tersebut.
“Bantuan berkenaan melibatkan kawasan tanaman seluas 5.4 hektar di Baram,” katanya ketika merasmikan Seminar Promosi Tanaman Lada di Rumah Atam, Long Tisam, Tinjar, Baram pada Jumaat.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Baram berkata, kerjasama erat antara MPB dengan pekebun serta pemain industri di lapangan amat penting bagi memastikan program yang dirancang kerajaan dapat dilaksanakan dengan berkesan dan sampai kepada kumpulan sasar.
Jelasnya, usaha pembangunan tanaman lada di Baram dilaksanakan menerusi Skim Tanaman Lada Baharu dan Skim Tanaman Lada Matang di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12).
Sementara itu, seminar berkenaan memberi pendedahan mengenai perkembangan dan potensi industri lada, termasuk bantuan serta insentif yang disediakan, selain teknologi dan inovasi dalam pengurusan tanaman.
Program itu turut memberi peluang kepada masyarakat setempat mendapatkan khidmat nasihat mengenai pengurusan kebun dan peluang mengembangkan tanaman lada, selain maklumat berkaitan pendaftaran BUDI Agri-Komoditi.
MPB turut menyediakan kaunter perkhidmatan bagi memudahkan urusan pekebun termasuk pengagihan surat makluman dan tuntutan input pertanian.
Hadir sama Ketua Pengarah MPB, Vincent Sawat serta pekebun lada sekitar Long Tisam.-EDISI UKAS