Mahasiswa UNIMAS Diseru Jadi Pencipta Pekerjaan, Bukan Sekadar Pencari Kerja
KOTA SAMARAHAN: Mahasiswa baharu Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) diseru mengubah perspektif dengan tidak hanya melihat diri sebagai pencari pekerjaan selepas tamat pengajian, sebaliknya membina pemikiran sebagai pencipta pekerjaan.
Timbalan Menteri Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Mohamad Alamin berkata, segulung ijazah bukan jaminan mutlak untuk mendapatkan pekerjaan, justeru mahasiswa perlu melengkapkan diri dengan kemahiran, pengalaman, keberanian mencuba dan pemikiran keusahawanan sepanjang tempoh pengajian.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Bicara Inspirasi Bersama Tokoh sempena Majlis Aluan Pelajar (MAP) UNIMAS 2026 di sini pada Selasa.
Menurut beliau, mahasiswa perlu berani meneroka bidang berpotensi tinggi seperti ekonomi digital, kecerdasan buatan (AI), ekonomi kreatif, ekonomi biru serta industri bernilai tinggi yang mempunyai prospek besar pada masa hadapan.
Dalam pada itu, beliau menyatakan kesediaan KUSKOP meneroka kerjasama dengan UNIMAS dalam menyediakan pendedahan dan latihan keusahawanan kepada mahasiswa, termasuk membantu pelajar yang memerlukan sokongan untuk memulakan aktiviti perniagaan.
Beliau berkata, pembentukan kepimpinan dan jati diri juga perlu bermula daripada diri sendiri, termasuk keupayaan mengurus masa, kewangan, disiplin harian serta membentuk nilai integriti dan kejujuran.
Sehubungan itu, mahasiswa digalakkan mengambil peluang menyertai persatuan, aktiviti kokurikulum, program kemasyarakatan, pertukaran pelajar serta pelbagai aktiviti pembangunan diri bagi memperluas pengalaman dan membina jaringan.
Beliau turut menggesa mahasiswa mengikuti perkembangan semasa di peringkat nasional dan antarabangsa agar lebih bersedia menghadapi perubahan dunia serta berupaya mengenal pasti peluang baharu yang boleh dimanfaatkan.
Pada masa sama, mahasiswa diingatkan supaya menggunakan kebebasan secara bertanggungjawab, menghormati undang-undang dan menghargai kepelbagaian latar belakang warga UNIMAS.
Datuk Mohamad berkata, mahasiswa merupakan bakal pemimpin masa hadapan dan perlu memanfaatkan tempoh pengajian untuk membangunkan potensi diri, mengasah kemahiran kepimpinan dan keusahawanan serta membina jaringan yang mampu menyokong pembangunan Sarawak dan Malaysia.-EDISI UKAS