RM2 Juta Diusahakan, Esplanade Simunjan Bakal Berwajah Baharu
SIMUNJAN: Peruntukan tambahan antara RM1 juta hingga RM2 juta bakal dipohon bagi memperkasa Esplanade Simunjan sebagai lokasi tumpuan masyarakat, aktiviti ekonomi dan tarikan pengunjung di daerah ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris berkata, permohonan itu akan dikemukakan selepas Majlis Daerah Simunjan (MDS) mengenal pasti dan menyenaraikan keperluan serta kemudahan fizikal yang masih perlu ditambah baik.
“Kita mahu Esplanade ini bukan sekadar ada bangunan dan bumbung, tetapi benar-benar hidup serta menjadi tempat masyarakat berkumpul dan beraktiviti. Sebab itu kita akan lihat apa lagi yang perlu dilengkapkan dan memohon peruntukan tambahan supaya kawasan ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Majlis Penyerahan Projek Siap Pembinaan Bumbung Baharu Esplanade Simunjan di sini, pada Selasa.
Menurutnya, projek pembinaan bumbung baharu bernilai RM2.18 juta itu telah siap dan diserahkan secara rasmi oleh pihak kontraktor kepada MDS.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak kontraktor atas penyiapan projek berkenaan, selain memahami kekangan yang menyebabkan sedikit kelewatan sepanjang tempoh pembinaan.
Awla berkata, Esplanade Simunjan mempunyai potensi besar untuk menjadi lokasi tumpuan bukan sahaja bagi penduduk tempatan, malah pengunjung dari luar daerah sekiranya diurus dan diselenggara dengan baik.
“MDS perlu memastikan kawasan ini dijaga dan diselenggara dengan baik. Kalau tempatnya bersih, cantik dan selesa, orang akan datang dan yang lebih penting, mereka akan datang semula,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menggalakkan para peniaga memanfaatkan kemudahan tersebut dengan menjalankan perniagaan dari pagi hingga malam bagi menghidupkan aktiviti ekonomi setempat.
Menurutnya, penyediaan pelbagai pilihan makanan khususnya pada sebelah pagi boleh membantu menarik lebih ramai pengunjung, sekali gus mewujudkan suasana yang lebih meriah di Esplanade Simunjan.
“Kita mahu kawasan ini ada aktiviti dari pagi sampai malam. Peniaga boleh tampil dengan pelbagai pilihan makanan dan bersaing secara sihat supaya Esplanade ini sentiasa meriah,” katanya.
Antara penambahbaikan yang dicadangkan termasuk kerja menyimen semula tapak, menyusun semula meja dan kerusi, memasang lampu hiasan serta memperindah bahagian dalam bangunan.
Beliau yakin sekiranya peruntukan tambahan berkenaan diluluskan, Esplanade Simunjan mampu tampil dengan wajah baharu yang lebih menarik dan seterusnya menjadi antara lokasi tumpuan serta mercu tanda baharu daerah itu.
Hadir sama Pemangku Setiausaha Majlis Daerah Simunjan, Sabli Razak, wakil Pegawai Daerah Simunjan, Mohd. Raili Jawawi, Pemanca Liew Wee Tchiun, Penghulu Ahmad Dol Simpol serta Timbalan Pengerusi Majlis Daerah Simunjan, Kr. Mohammad Zaini Morshidi.-EDISI UKAS