SUKAN SEA-34: MASOC Arah Semua Jawatankuasa Perkemas Persediaan
PULAU PINANG: Semua jawatankuasa pengelola Sukan SEA Ke-34 dan Sukan Para ASEAN Ke-14 2027 diminta memperkemas persediaan serta memastikan setiap perancangan yang telah dipersetujui diterjemahkan kepada tindakan segera.
Ketua Pegawai Eksekutif Jawatankuasa Pengelola Sukan SEA Malaysia (MASOC) 2027, Datuk Abdul Rashid Yaakub berkata, setiap jawatankuasa perlu menyemak semula senarai semak masing-masing bagi memastikan pelaksanaan tugas berjalan secara tersusun dan mengikut tempoh ditetapkan.
Menurut beliau, perancangan yang baik perlu disusuli tindakan pantas, selain proses kerja sedia ada perlu diteliti dan dipermudah sekiranya tidak kritikal atau tidak memberi nilai tambah kepada pelaksanaan.
“Selepas ada perancangan, perlu disertai dengan tindakan segera. Barulah perancangan dapat dilakukan dengan lancar,” katanya ketika menyampaikan ucapan penutupan Bengkel Penyelarasan Bersama Jawatankuasa Pengelola dan Kerajaan Negeri Penganjur Sukan SEA Ke-34 dan Sukan Para ASEAN Ke-14 Tahun 2027 di sini, pada Selasa.
Beliau menambah, langkah memperkemas proses kerja penting bagi mempercepat pelaksanaan dan memastikan setiap sasaran dapat dicapai mengikut jadual.
“Proses yang tidak penting diminta untuk diringkaskan agar sasaran dapat dicapai dengan segera,” katanya.
Dalam pada itu, Datuk Abdul Rashid menegaskan setiap jawatankuasa perlu berada pada tahap kesiapsiagaan tinggi supaya sebarang isu atau kekangan dapat dikenal pasti dan ditangani lebih awal.
Pada masa sama, semua pihak digalakkan menjadikan aduan, pandangan dan komen yang diterima sebagai input penting untuk menambah baik persediaan serta mutu penyampaian perkhidmatan sepanjang temasya berkenaan.
Bengkel selama tiga hari bermula 13 hingga 15 September itu turut disertai ahli jawatankuasa Kluster Sarawak yang diketuai Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) merangkap Pengerusi Sekretariat Local Organising Committee (LOC) Sukan SEA 2027 Kluster Sarawak, Datu Hii Chang Kee.
Bengkel berkenaan bertujuan memperjelas peranan dan tanggungjawab setiap jawatankuasa, selain memperkemas matriks kebergantungan bagi memastikan kesalinghubungan tugas dapat dikenal pasti dan diselaraskan dengan lebih berkesan.
Penganjurannya turut menjadi platform menyelaras gerak kerja dan hala tuju semua pihak bagi memastikan persiapan Sukan SEA Ke-34 dan Sukan Para ASEAN Ke-14 pada 2027 dilaksanakan secara lebih tersusun dan bersepadu.-EDISI UKAS