Masa Depan Sarawak Bergantung Kepada Institusi Diyakini Rakyat
KUCHING: Masa depan Sarawak bergantung kepada kemampuan membina institusi yang diyakini rakyat dengan integriti, ketelusan dan kebertanggungjawaban terus menjadi asas kepada setiap bentuk kepimpinan.
Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, prinsip tersebut perlu diterapkan dalam kepimpinan sektor awam, swasta mahupun masyarakat.
Menurutnya, Hari Malaysia turut mengingatkan bahawa kemajuan sebenar adalah apabila tiada sesiapa yang tercicir daripada arus pembangunan terutamanya golongan warga emas, orang kurang upaya, masyarakat luar bandar dan komuniti yang mudah terjejas yang perlu terus diberi perhatian.
“Di bawah kepimpinan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, salah satu bukti paling nyata dalam amalan inklusif ini ialah fokus luar biasa terhadap pembangunan kawasan luar bandar kerana Kerajaan Sarawak menyedari bahawa jurang ekonomi antara kawasan bandar dan luar bandar perlu dirapatkan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam perutusan khas pada Selasa sempena Sambutan Hari Malaysia 2026.
Tambahnya, penubuhan agensi pembangunan wilayah seperti Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA), Agensi Pembangunan Hulu Rajang (URDA), Agensi Pembangunan Sri Aman (SADA) dan Agensi Pembangunan Tanah Tinggi (HDA) memastikan peruntukan kewangan disalurkan secara khusus untuk membina infrastruktur asas seperti jalan raya, bekalan air bersih dan elektrik di kawasan pedalaman.
Ujarnya, langkah ini memastikan masyarakat peribumi serta penduduk kampung dan rumah panjang turut merasai arus pemodenan.
Dalam pada itu, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi memberitahu, Kerajaan Sarawak juga telah membuktikan bahawa kepelbagaian kaum, agama dan budaya bukanlah satu halangan kepada kemajuan.
Menurutnya lagi, Wilayah Sarawak menjadi antara contoh terbaik di Malaysia dalam menguruskan kepelbagaian agama secara inklusif melalui penubuhan Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) di bawah Jabatan Premier Sarawak.
“Melalui UNIFOR, kerajaan menyediakan dana sebanyak RM685 juta sejak penubuhan UNIFOR pada tahun 2017 untuk membantu membina, membaiki dan menyelenggara rumah-rumah ibadat serta sekolah-sekolah mubaligh.
“Pendekatan ini membuktikan bahawa kerajaan menghormati hak setiap rakyat untuk mengamalkan kepercayaan masing-masing dalam suasana yang kondusif,” jelas beliau -EDISI UKAS