Sarawak Perluas Sokongan Kanak-Kanak Berkeperluan Khas
KUCHING: Pembukaan Estella Child Development Centre menjadi langkah positif dalam memperkukuh perkhidmatan sokongan dan intervensi awal bagi kanak-kanak berkeperluan khas di Sarawak.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, kerajaan negeri mengiktiraf kepentingan intervensi awal dalam membantu meningkatkan perkembangan kanak-kanak berkeperluan khas termasuk autisme, kelewatan pertuturan, ADHD dan keperluan neuroperkembangan lain.
Menurutnya, kerajaan Sarawak juga mengalu-alukan penglibatan sektor swasta dan masyarakat dalam melengkapi usaha kerajaan bagi memastikan perkhidmatan berkenaan dapat disampaikan kepada lebih ramai penerima secara berkesan.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan pembukaan Estella Child Development Centre di Level 1, Urban Residences, Jalan Central Timur, di sini, pada Selasa.
Sementara itu tambah beliau, kerajaan negeri berhasrat meneroka peluang kerjasama dengan Estella Child Development Centre bagi memperluas program intervensi, perkhidmatan jangkauan serta latihan kepada ahli terapi intervensi awal di pelbagai bahagian Sarawak.
Katanya, kerajaan negeri turut melihat keperluan membantu keluarga berpendapatan B40 yang berdepan beban kos intervensi awal dan terapi, termasuk melalui kerjasama tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan pusat berkenaan.
Dato Sri Fatimah turut berharap pusat berkenaan terus berkembang dan memperluas perkhidmatannya kepada lebih ramai kanak-kanak serta keluarga di seluruh Sarawak.
Beliau menegaskan setiap kanak-kanak berhak mendapat peluang untuk belajar, berkembang, berkomunikasi dan meneroka potensi diri, manakala pusat seperti Estella memainkan peranan penting sebagai rakan kerajaan dalam membentuk Sarawak yang lebih inklusif.-EDISI UKAS