Jadikan Hari Malaysia Titik Pembaharuan Azam Bina Negara Lebih Adil, Progresif Dan Berperikemanusiaan
KUCHING: Hari Malaysia perlu dijadikan titik pembaharuan azam untuk membina sebuah negara yang lebih adil, progresif dan berperikemanusiaan.
Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, Hari Malaysia tidak seharusnya dilihat sekadar sebagai sambutan tahunan, sebaliknya menjadi ruang untuk rakyat memperbaharui tekad dalam membangunkan negara.
“Kepada seluruh rakyat Malaysia, khususnya warga Sarawak, marilah kita terus memelihara semangat saling percaya, saling menghormati dan saling mengangkat antara satu sama lain.
“Semangat inilah yang akan memastikan negara kita terus kukuh menghadapi apa jua cabaran pada masa hadapan,” katanya dalam satu perutusan khas pada Selasa sempena Sambutan Hari Malaysia 2026.
Tambahnya, Hari Malaysia juga mengajar bahawa kejayaan tidak datang melalui jalan yang mudah tetapi ia menuntut kesabaran, kebijaksanaan, kesatuan hati dan pengorbanan.
Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi yakin dengan perpaduan yang utuh, tadbir urus yang baik dan rakyat yang berilmu, Malaysia akan terus muncul sebagai sebuah negara yang dihormati, berdaya saing dan mampu menjadi contoh kepada masyarakat dunia.
Justeru, beliau menyeru agar budaya kecemerlangan terus disemarakkan dalam setiap bidang sama ada dalam pendidikan, penyelidikan, sukan, kesenian mahupun perkhidmatan awam agar mencapai standard terbaik di peringkat antarabangsa.
“Semoga negara yang kita cintai ini terus dilimpahi keamanan, kemakmuran dan keberkatan, manakala Sarawak terus menjadi contoh sebuah negeri yang maju, harmoni dan disegani,” ujar beliau. -EDISI UKAS