Budaya Dialog Matang Perlu Diperkasa Dalam Masyarakat
KUCHING: Budaya dialog yang matang perlu diperkasa dalam masyarakat bagi memastikan perbezaan pandangan menjadi ruang untuk melahirkan penyelesaian yang lebih baik.
Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, kebebasan bersuara hendaklah disertai dengan rasa tanggungjawab agar ruang digital menjadi medan yang menyatukan, bukannya memecahbelahkan masyarakat.
“Perbezaan pandangan adalah lumrah dalam sebuah negara demokrasi namun perbezaan tidak seharusnya membawa kepada permusuhan.
“Sebaliknya, ia perlu menjadi ruang untuk melahirkan penyelesaian yang lebih baik,” katanya dalam satu perutusan khas sempena Sambutan Hari Malaysia 2026 pada Selasa.
Tambahnya, dalam era ledakan maklumat, rakyat perlu menjadi masyarakat yang celik fakta dan bijaksana dalam menilai sesuatu maklumat.
Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi memberitahu, kekayaan sebenar sesebuah negeri bukan hanya terletak pada sumber alamnya, tetapi pada keupayaan rakyatnya membina ilmu, inovasi dan akhlak.
Ujarnya, negeri yang berjaya ialah negeri yang melahirkan warga yang berfikiran terbuka, berintegriti dan sentiasa bersedia menimba ilmu.
Menurutnya, Sarawak mempunyai kelebihan tersendiri untuk menjadi peneraju kepada pendekatan pembangunan yang berteraskan keseimbangan antara kemajuan ekonomi, pemeliharaan alam sekitar dan kesejahteraan masyarakat.
“Keseimbangan inilah yang akan menentukan kelangsungan kemakmuran untuk generasi akan datang,” jelasnya. -EDISI UKAS