Semangat Perpaduan Tonggak Kekuatan Negara Sempena Hari Malaysia
KUCHING: Semangat perpaduan pelbagai kaum, agama dan budaya terus menjadi tunjang kekuatan Malaysia yang perlu dipelihara dan diperkukuh dalam mendepani cabaran masa depan.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol berkata perjalanan negara sejak pembentukan Malaysia pada tahun 1963 membuktikan bahawa kestabilan, keharmonian dan semangat kebersamaan rakyat adalah kunci utama kepada kemajuan dan kesejahteraan negara.
Menurut beliau, sambutan Hari Malaysia yang diraikan setiap 16 September bukan sekadar memperingati sejarah penubuhan negara, malah menjadi platform untuk menyemai semula rasa cinta dan tanggungjawab rakyat terhadap tanah air.
“Malaysia mungkin tidak sempurna, namun cukup untuk kita meneruskan kehidupan dalam suasana aman, tenang dan harmoni hasil daripada perpaduan yang telah lama dibina,” katanya dalam perutusan sempena Hari Malaysia pada Selasa.
Tambah beliau, rakyat Malaysia perlu terus menghargai pengorbanan generasi terdahulu yang telah berjuang mempertahankan kedaulatan negara serta memastikan maruah negara sentiasa terpelihara.
Beliau turut menegaskan bahawa simbol negara seperti Jalur Gemilang perlu dihormati kerana ia melambangkan identiti, kehormatan dan kedaulatan Malaysia.
Dalam masa sama, beliau menyeru seluruh rakyat agar terus memainkan peranan sebagai warga negara yang bertanggungjawab dengan memupuk nilai kesetiaan, keluhuran dan semangat cintakan negara.
“Sebagai anak Malaysia, kita harus bersama-sama mempertahankan keamanan dan kesejahteraan negara demi generasi akan datang,” ujarnya.
Beliau turut mengajak rakyat Sarawak khususnya untuk terus berbangga dengan identiti sebagai anak Bumi Kenyalang, sambil kekal teguh sebagai rakyat Malaysia yang bersatu padu.-EDISI UKAS