Sarawak Simpan Khazanah Strategik Untuk Generasi Masa Depan
KUCHING: Sarawak mengambil pendekatan strategik dengan menyimpan sumber khazanah yang berpotensi menyokong pembangunan industri semikonduktor dan teknologi bernilai tinggi sehingga kepakaran tempatan mampu memanfaatkannya untuk masa depan generasi Sarawak.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, antara sumber tersebut ialah bahan mentah yang berpotensi digunakan untuk menghasilkan magnet berprestasi tinggi yang mempunyai aplikasi dalam teknologi satelit dan Unit Pemprosesan Grafik (GPU).
“Kita mempunyai bahan mentah untuk menghasilkan magnet super. Ada, tetapi saya tidak mahu memberitahu dahulu.
“Biar kita simpankan sehingga rakyat kita mempunyai kepakaran, kemudian anda membangunkan magnet itu dan ia akan digunakan dalam penghasilan GPU,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Majlis Perasmian ‘Sarawak Semiconductor Flagship Programme’ di Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS), Santubong, pada Selasa.
Menurut beliau, perkembangan industri semikonduktor bukan sahaja bergantung kepada pembangunan cip, malah turut merangkumi pelbagai komponen dan teknologi sokongan yang mempunyai nilai strategik dalam ekonomi masa hadapan.
Katanya, Sarawak perlu membuat persediaan dari sekarang dengan membangunkan kepakaran dan teknologi tempatan bagi memastikan sumber yang dimiliki dapat menyumbang kepada rantaian nilai semikonduktor global.
Pendekatan itu penting bagi memastikan kekayaan sumber Sarawak tidak sekadar dieksport sebagai bahan mentah, sebaliknya dibangunkan menjadi produk dan teknologi bernilai tinggi yang mampu memberikan manfaat lebih besar kepada generasi akan datang.-EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Ibanez Jeffery