Pembangunan Jaringan Jalan Raya Pedalaman Kurangkan Kebergantungan Kepada Helikopter FDS
KUCHING: Pembangunan jaringan jalan raya ke kawasan pedalaman Sarawak bakal mengurangkan kebergantungan terhadap penggunaan helikopter bagi menyediakan perkhidmatan kepada masyarakat luar bandar, termasuk perkhidmatan Flying Doctor Service (FDS).
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, Kerajaan Sarawak sedang mengambil alih dan membangunkan jalan balak termasuk di Belaga, Bintulu dan Baram bagi meningkatkan kesalinghubungan darat ke kawasan pedalaman.
Menurut beliau, sebanyak 142 kilometer jalan raya di Baram kini sedang dalam pembinaan mengikut piawaian R3 Jabatan Kerja Raya (JKR).
“Sekarang 142 km sedang dalam pembinaan, jadi apabila kita sudah bina jalan raya, tidak ada guna lagi helikopter dan tidak diperlukan lagi maka orang boleh berjimat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian ‘Sarawak Semiconductor Flagship Programme’ di Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS), Santubong, pada Selasa.
Tambah beliau, usaha tersebut turut melibatkan pengambilalihan dan pembangunan jalan balak di kawasan lain termasuk Belaga dan Bintulu.
Katanya, di Bintulu sahaja terdapat kira-kira 5,000 kilometer jalan balak yang memerlukan masa untuk dinaik taraf sebagai sebahagian daripada jaringan jalan raya.
Datuk Patinggi Abang Zohari memberitahu, pembangunan jalan raya berkenaan akan dilaksanakan secara berperingkat dengan sasaran sekitar 2030 hingga 2032.
Jelasnya lagi, penyediaan jaringan jalan raya yang menghubungkan rumah panjang dan kawasan pedalaman bukan sahaja meningkatkan mobiliti penduduk, malah memudahkan mereka mendapatkan perkhidmatan asas termasuk akses ke klinik tanpa perlu bergantung kepada penerbangan helikopter.-EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Ibanez Jeffery