Sarawak Kekal Tegas Pertahan Nisbah Satu Pertiga Kerusi Parlimen
KUCHING: Sarawak kekal dengan pendirian bahawa Sabah dan Sarawak perlu mempunyai nisbah satu pertiga daripada keseluruhan kerusi Parlimen sekiranya berlaku penambahan jumlah kerusi Dewan Rakyat.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, pendirian itu berlandaskan nisbah yang dipersetujui ketika pembentukan Malaysia serta mengambil kira Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Suruhanjaya Cobbold dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC).
“Jadi, kita berterima kasih dengan Perdana Menteri Dato Seri Anwar Ibrahim sebab bersandarkan nisbah yang telah dipersetujui di bawah MA63 yang berlandaskan kepada Suruhanjaya Cobbold dan IGC.
“Jadi kalau hendak menambahkan peruntukan kerusi di peringkat Parlimen, maknanya kalau ia bertambah, kita mesti ada satu pertiga nisbah daripada jumlahnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian ‘Sarawak Semiconductor Flagship Programme’ di Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS), Santubong, pada Selasa.
Menurut beliau, ketika pembentukan Malaysia, Sarawak dan Sabah bersama Singapura mempunyai kira-kira satu pertiga daripada keseluruhan kerusi Parlimen sebagai perlindungan terhadap kepentingan wilayah berkenaan.
Bagaimanapun, selepas Singapura keluar daripada Malaysia, kedudukan perwakilan tersebut berubah sehingga nisbah berkenaan berkurangan.
Mengulas jumlah kerusi yang diperlukan sekiranya keseluruhan kerusi Parlimen ditambah daripada 222 kerusi ketika ini, Datuk Patinggi Abang Zohari berkata, Sabah dan Sarawak perlu memperoleh satu pertiga daripada jumlah keseluruhan baharu tersebut.
“Sabah, Sarawak lah, gabunglah, Kita tengoklah berapa sebab sekarang ini ada 222 kerusi Parlimen, ia terpaksa meningkat daripada 222 kerusi tersebut.
“Kalau ia meningkat, Sabah dan Sarawak meningkat juga, jadi Sabah dan Sarawak mesti ada satu pertiga,” ujarnya.
Mengenai kriteria persempadanan semula kawasan pilihan raya, beliau berkata perkara itu akan diserahkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menentukan kawasan yang bersesuaian.
Kerajaan Persekutuan sebelum ini bersetuju secara prinsip untuk menambah jumlah kerusi Parlimen Sabah dan Sarawak dengan syarat penambahan berkenaan meningkatkan nisbah perwakilan kedua-dua negeri di Dewan Rakyat.
Perkara itu diluluskan Jemaah Menteri pada 9 September lalu, manakala SPR telah dimaklumkan untuk memulakan rundingan mengenai jumlah kerusi serta mekanisme pelaksanaannya.-EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Ibanez Jeffery