SMD, Linyang Energy Jalin Kerjasama Pacu Teknologi Sarawak Ke Arah Komersial
KUCHING: Sarawak Microelectronics Design (SMD) Semiconductors memeterai Memorandum Perjanjian (MoA) bersama Linyang Energy Group bagi membawa teknologi yang dibangunkan dalam ekosistem Sarawak ke peringkat aplikasi komersial.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, pencapaian itu membuktikan keupayaan teknologi tempatan untuk dikembangkan ke pasaran tenaga boleh diperbaharui di peringkat tempatan dan global.
Menurut beliau, Linyang Energy Group merupakan syarikat antarabangsa yang disenaraikan di Bursa Saham Shanghai serta pemain global bertaraf satu dalam bidang meter pintar dan penyimpanan tenaga bateri.
“Kerjasama ini menunjukkan apa yang boleh dicapai apabila keupayaan tempatan kita dihubungkan dengan pemain industri yang telah kukuh, sekali gus mewujudkan peluang kepada bakat dan perniagaan Sarawak untuk menceburi aktiviti bernilai lebih tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Majlis Perasmian ‘Sarawak Semiconductor Flagship Programme’ di Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS), Santubong, pada Selasa.
Seiring perkembangan ekosistem semikonduktor Sarawak, Datuk Patinggi Abang Zohari turut menekankan kepentingan kerjasama antara Kerajaan Sarawak, Kerajaan Persekutuan serta institusi di peringkat nasional dan negeri.
Menurutnya, kerjasama itu penting bagi memajukan ekosistem semikonduktor Malaysia menerusi perkongsian pengetahuan, jaringan industri serta pembangunan bakat yang diselaraskan.
Jelas beliau, SMD kini bergerak ke Fasa 2 dengan memacu pertumbuhan ke peringkat seterusnya dalam pembangunan semikonduktor Sarawak, daripada pembinaan keupayaan kepada pembangunan teknologi, harta intelek, pengkomersialan dan seterusnya penciptaan nilai ekonomi yang lebih besar.
“Inilah sebabnya aspirasi kita mesti melangkaui pembangunan keupayaan semata-mata.
“Kita mahu melihat apa yang kita bangunkan diterjemahkan kepada teknologi, harta intelek, produk dan aplikasi yang mencipta nilai untuk Sarawak serta menyumbang kepada ekonomi yang lebih luas,” jelas beliau.
Hadir sama, Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn, Setiausaha Kewangan Sarawak merangkap Pengerusi SMD Semiconductor, Dato Sri Wan Lizozman Wan Omar, Pengerusi CENTEXS, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani serta Ketua Pegawai Eksekutif SMD Shariman Jalil. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Ibanez Jeffery