Pameran Mini Hari Malaysia Semarak Patriotisme Di Serian
SERIAN: Pameran Mini Hari Malaysia menjadi wadah mendekatkan masyarakat dengan sejarah pembentukan Malaysia, sekali gus menyemarakkan semangat patriotisme sempena sambutan Hari Malaysia.
Pameran anjuran Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) dengan kerjasama Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) di LePapa Hypermarket itu berlangsung selama tujuh hari bermula 10 hingga 16 September 2026.
Pelbagai informasi mengenai sejarah pembentukan Malaysia serta fakta berkaitan Hari Malaysia dipamerkan bagi meningkatkan pengetahuan dan penghayatan masyarakat terhadap peristiwa penting negara.
Dalam usaha menjadikan pameran lebih menarik dan interaktif, UKAS turut menganjurkan kuiz yang memberi peluang kepada pengunjung menguji pengetahuan mereka, selain berpeluang menerima hadiah apabila berjaya menjawab soalan dengan betul.
Pendekatan itu bukan sahaja menjadikan penyampaian maklumat lebih santai dan menarik, malah menggalakkan pengunjung menghayati sejarah pembentukan Malaysia dengan lebih dekat.
Pameran berkenaan berlangsung sehingga 16 September ini bersempena sambutan Hari Malaysia.-EDISI UKAS