Hari Malaysia Bukan Sekadar Cuti, Hayati Makna Pembentukan Persekutuan
KUCHING: Sambutan Hari Malaysia perlu menjadi ruang untuk seluruh rakyat menghayati kembali sejarah pembentukan negara serta memahami hak dan tanggungjawab masing-masing dalam Persekutuan Malaysia.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Prof. Dr. Sim Kui Hian berkata, 16 September bukan sekadar cuti umum, sebaliknya tarikh penting untuk rakyat Malaysia merenung kembali makna pembentukan Persekutuan Malaysia serta hala tuju negara.
Menurut beliau, sambutan berkenaan menjadi peringatan terhadap pembentukan Malaysia pada 1963 yang melibatkan Persekutuan Tanah Melayu, Sarawak, Sabah dan Singapura.
Sehubungan itu, beliau berharap rakyat memahami sejarah pembentukan Malaysia dengan lebih mendalam, termasuk kedudukan hak Sabah dan Sarawak serta tanggungjawab Kerajaan Persekutuan berlandaskan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Perlembagaan Persekutuan.
“Marilah kita bersama-sama menyambut Hari Malaysia dengan tujuan, misi dan visi,” katanya dalam perutusan khas sempena sambutan Hari Malaysia pada Selasa.
Dalam pada itu, Datuk Amar Prof. Dr. Sim berkata, Sarawak kini semakin mendapat perhatian dengan harapan yang tinggi diletakkan terhadap negeri ini dalam mencorak masa depan Malaysia.
“Sejak kebelakangan ini kebanyakan orang memandang kepada Sarawak dan meletakkan harapan kepada Sarawak sebagai satu lagi jalan ke hadapan untuk Malaysia,” katanya.
Beliau turut menyeru seluruh rakyat Malaysia menjadikan sambutan Hari Malaysia sebagai momentum untuk memperkukuh semangat kebersamaan dan bersama-sama membina masa depan negara.-EDISI UKAS