KUCHING: Menghormati Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) merupakan asas penting dalam memelihara semangat pembentukan Malaysia.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, kedua-dua dokumen berkenaan bukan sekadar catatan sejarah, sebaliknya mencerminkan persefahaman, jaminan dan semangat yang menjadi asas kepada pembentukan Persekutuan Malaysia.
“Hormati MA63 dan Laporan IGC bermakna menghormati semangat Malaysia itu sendiri, sebuah persekutuan yang dibina atas kepercayaan, menghormati serta pengiktirafan terhadap hak dan kepentingan semua pihak.”
Beliau berkata demikian dalam satu perutusan khas sempena Sambutan Hari Malaysia 2026.
Menurut beliau, selepas lebih enam dekad pembentukan Malaysia, Sarawak kini telah banyak berubah dengan kemajuan ekonomi yang semakin kukuh serta keyakinan pelabur yang terus meningkat.
Katanya, Sarawak telah merekodkan lebih RM116 bilion nilai pelaburan daripada Pelaburan Domestik (DDI) dan Pelaburan Modal Asing (MPI) dalam tempoh lima tahun sejak 2021.
Bagaimanapun, beliau menegaskan kemajuan tidak boleh dinilai melalui angka semata-mata, sebaliknya pembangunan sebenar perlu diterjemahkan kepada masa depan yang lebih baik, pendidikan berkualiti, peluang pekerjaan dengan gaji lumayan serta peluang ekonomi yang lebih luas untuk rakyat.
“Apabila sebuah keluarga, sama ada di bandar maupun di luar bandar, dapat menikmati kehidupan yang lebih sejahtera, itulah Sarawak yang sedang berubah, sebuah Sarawak yang maju dan berpendapatan tinggi,” katanya.
Datuk Amar Awang Tengah turut menegaskan kekuatan Malaysia terletak pada kekuatan wilayah dan negeri-negeri yang membentuknya.
“Apabila Sarawak maju, Malaysia berubah. Apabila Sarawak makmur, Malaysia menjadi lebih makmur,” katanya.
Beliau pada masa sama menyeru rakyat agar terus memelihara perpaduan dan memperkukuh semangat kebersamaan yang menjadi asas pembentukan negara demi memastikan kejayaan hari ini dapat diteruskan untuk generasi akan datang.-EDIS UKAS