TPM Tiba Di Kuching, Hadiri Mesyuarat HLC Pengurusan Bencana
KUCHING: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tiba di Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Kuching pada Selasa bagi menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat Peringkat High Level Committee (HLC) bersama Kerajaan Sarawak pada Rabu.
Ketibaan beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah disambut Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang; Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Dr Ripin Lamat, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala serta Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah (Komoditi dan Pembangunan Wilayah), Datuk Martin Ben.
Mesyuarat HLC berkenaan dijangka menjadi platform penting dalam memperkukuh penyelarasan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak, khususnya bagi meningkatkan kesiapsiagaan serta memastikan pengurusan bencana dapat dilaksanakan dengan lebih cekap dan berkesan.-EDISI UKAS