TYT, Premier Sarawak Hadiri Majlis Kesyukuran Sambutan Hari Malaysia 2026
KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi menghadiri Majlis Kesyukuran Sambutan Perayaan Hari Malaysia Peringkat Sarawak Tahun 2026 di Masjid Jamek Negeri Sarawak, pada Selasa.
Turut hadir Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg bersama anakanda beliau, Dayang Norjihan serta dif-dif kenamaan lain.
Ketibaan Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi dan Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah pada jam 6.30 petang disambut Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap Menteri Bertanggungjawab Sambutan Hari Malaysia 2026, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah serta Timbalan Menteri Utiliti (Sarawak Energy Berhad dan PETROS) merangkap Timbalan Menteri Bertanggungjawab Majlis Kesyukuran Sambutan Perayaan Hari Malaysia Tahun 2026, Datuk Ibrahim Baki.
Majlis dimulakan dengan solat fardu Maghrib berjemaah, diikuti bacaan Yasin yang dipimpin Imam Besar Sarawak, Sahibul Fadillah Dato Mustapha Kamal Ahmad Fauzi.
Majlis turut diimarahkan dengan alunan zikir marhaban oleh Gabungan Kumpulan Zikir Guru Al-Quran Majlis Islam Sarawak (MIS), sebelum diteruskan dengan doa kesyukuran yang dipimpin Sahibul Fadillah Dato Mustapha Kamal.
Sejurus azan Isyak berkumandang, majlis diteruskan dengan solat fardu Isyak berjemaah sebelum jamuan makan malam yang turut disertai barisan menteri, dif-dif kenamaan bukan beragama Islam serta pasangan masing-masing.
Selepas jamuan, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi dan Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah berangkat meninggalkan majlis dengan diiringi Premier Sarawak serta tetamu kenamaan lain.
Hadir sama, Menteri-Menteri Kerajaan Sarawak, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki bersama isteri, Dato Baduyah Bujang, Timbalan-Timbalan Menteri; Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak, Datuk Misnu Taha, Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Majlis Kesyukuran, Ustaz Mual Suaud, ketua-ketua jabatan serta masyarakat setempat.-EDISI UKAS