Sarawak, Hong Kong Teroka Kerjasama Strategik Dalam Pelaburan, Semikonduktor dan Teknologi Strategik
KUCHING: Sarawak menerusi SMD Semiconductor meneroka peluang memperkukuh kerjasama strategik dengan Hong Kong dalam bidang pelaburan, semikonduktor, teknologi mendalam (deep technology) dan teknologi perintis yang lain
Usaha tersebut dibincangkan dalam pertemuan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg bersama SMD Semiconductor dan Gobi Partners, di sini pada Selasa.
Menurut Datuk Patinggi Abang Zohari, penglibatan tersebut berpotensi menjadi asas kepada kerjasama lebih luas antara Sarawak dan Hong Kong, khususnya dalam bidang teknologi strategik.
“Kita melihat potensi untuk Sarawak dan Hong Kong membina kerjasama lebih kukuh dan jangka panjang dalam bidang semikonduktor, teknologi mendalam dan teknologi strategik lain, di samping mewujudkan peluang kepada kedua-dua pihak untuk mengambil bahagian dalam pertumbuhan ekonomi teknologi serantau,” katanya dalam kenyataan SMD.
Antara bidang kerjasama yang diteroka termasuk mengenal pasti pelabur institusi, berdaulat dan strategik serta peluang pelaburan bersama dan sindikasi bagi syarikat semikonduktor serta teknologi mendalam.
Kerjasama tersebut turut merangkumi pelaburan strategik dalam syarikat pemula dan syarikat teknologi yang sedang berkembang di peringkat serantau dan antarabangsa, selain pemerolehan serta pengkomersialan harta intelek dan teknologi strategik.
Sementara itu, Pengerusi SMD Semiconductor, Dato Sri Wan Lizozman Wan Omar, berkata jalinan kerjasama itu menghimpunkan dua ekosistem yang memiliki kekuatan saling melengkapi.
“Hong Kong mempunyai kekuatan yang mantap dalam bidang kewangan, modal dan inovasi, manakala Sarawak sedang membangunkan keupayaannya dalam sektor semikonduktor, infrastruktur digital dan teknologi. Menggabungkan kekuatan-kekuatan ini mampu membuka peluang baharu bagi kedua-dua ekosistem,” ujarnya.
Rakan Kongsi Urusan di Gobi Partners Malaysia, Jamaludin Bujang pula berkata, Sarawak boleh memanfaatkan jaringan Gobi di pasaran Asia, khususnya Asia Barat, bagi mendapatkan akses kepada teknologi terkini.
Menurutnya, Gobi yang telah melabur dalam lebih 400 syarikat teknologi sepanjang 24 tahun lalu serta mendapat sokongan beberapa dana berdaulat di rantau tersebut, berpotensi membantu Sarawak mempercepatkan proses transformasi teknologi.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif SMD Semiconductor, Shariman Jamil berkata, SMD akan memberi tumpuan untuk mengenal pasti bidang kerjasama yang dapat memanfaatkan keupayaan kedua-dua pihak serta mempunyai nilai komersial dan strategik.
“Bagi SMD, langkah seterusnya ialah mengenal pasti aspek yang membolehkan keupayaan kami dan rakan kongsi berpotensi saling melengkapi, serta mengenal pasti ruang untuk membangunkan peluang yang mempunyai nilai komersial dan strategik yang sebenar,” katanya.-EDISI UKAS