SIBU: Kira-kira 1,000 peserta menyertai PDP Permai Run 2026 di Taman Tasik Permai, pada Rabu, sempena sambutan Hari Malaysia.
Larian sejauh 4.5 kilometer itu menjadi platform menggalakkan masyarakat mengamalkan gaya hidup sihat, selain mengeratkan hubungan dalam kalangan komuniti menerusi aktiviti kemasyarakatan.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato Sri Tiong King Sing, hadir menyempurnakan pelepasan peserta pada acara berkenaan.
Pengerusi penganjur merangkap Ahli Majlis Perbadanan Sibu, Kaunselor Aaron Teo berkata, sambutan menggalakkan terhadap acara itu menunjukkan masyarakat semakin memberi perhatian kepada kepentingan gaya hidup sihat.
Menurutnya, kira-kira 1,000 pendaftaran peserta dicapai dalam tempoh satu setengah bulan, melibatkan penyertaan daripada pelbagai lapisan masyarakat.
“Pada masa kini, semakin ramai masyarakat mula memberi perhatian kepada gaya hidup sihat. Kesihatan bukan lagi sesuatu yang kita fikirkan hanya apabila kita sakit. Kesihatan mesti menjadi keutamaan kita setiap hari,” katanya ketika berucap pada program tersebut.
Aaron yang juga Ketua Pemuda PDP Nangka berkata, penyertaan daripada pelbagai lapisan masyarakat menjadikan acara itu sebagai ruang untuk menggalakkan aktiviti bersama dalam kalangan keluarga, rakan dan komuniti setempat.
Katanya, PDP Permai Run bukan sekadar menekankan aspek persaingan dalam larian, sebaliknya memberi peluang kepada peserta melakukan aktiviti fizikal sambil mengeratkan hubungan persahabatan dan kekeluargaan.
Beliau berkata, penganjuran program tersebut selaras dengan usaha menggalakkan masyarakat supaya lebih aktif, sihat dan dapat menjalinkan hubungan sosial dalam suasana positif.
Aaron berharap acara tersebut dapat dijadikan program tahunan PDP N.55 Nangka dengan skala penganjuran yang lebih besar serta penyertaan masyarakat yang lebih meluas pada masa akan datang.-EDISI UKAS