Hari Terbuka Eco Forest Kayangeran Dekatkan Masyarakat Dengan Hutan
KUCHING: Jabatan Hutan Sarawak bakal menganjurkan Majlis Perasmian dan Hari Terbuka Eco Forest Kayangeran di Lawas pada 23 hingga 24 Oktober 2026, sebagai platform menggalakkan penglibatan masyarakat dalam aktiviti berkaitan hutan dan pemeliharaan alam sekitar.
Program berkenaan dijangka turut dihadiri Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, sekali gus membuka ruang kepada masyarakat untuk mengenali nilai hutan dan kepentingannya dengan lebih dekat.
Pengarah Hutan Sarawak, Datu Hamden Mohammad, berkata program tersebut bukan sekadar memberi peluang kepada masyarakat mendekati alam semula jadi, tetapi turut menjadi medium meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan hutan sebagai khazanah yang perlu dipelihara.
“Ini adalah sebagai salah satu inisiatif yang dapat menggalakkan penglibatan masyarakat dalam aktiviti berkaitan hutan dan pemeliharaan alam sekitar.
“Program seperti ini bukan sahaja memberi peluang kepada masyarakat untuk mendekati alam semula jadi, malah dapat meningkatkan kesedaran tentang kepentingan hutan sebagai khazanah yang perlu dipelihara dan diwarisi oleh generasi yang akan datang," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Jabatan Hutan Sarawak di sebuah hotel, di sini, pada Selasa.
Menurutnya, pendekatan mendekatkan masyarakat dengan kawasan hutan penting bagi memastikan usaha pemeliharaan alam sekitar tidak hanya digerakkan oleh agensi berkaitan, tetapi turut mendapat sokongan dan penyertaan masyarakat.
Penganjuran Hari Terbuka Eco Forest Kayangeran turut memperlihatkan usaha Jabatan Hutan Sarawak memperluas pendekatan pendidikan dan kesedaran alam sekitar melalui pengalaman secara langsung di kawasan hutan.
Dalam perkembangan berkaitan, Jabatan Hutan Sarawak turut merancang Hari Terbuka Sabal pada 6 hingga 7 November 2026, dengan Hutan Simpan Sabal akan diketengahkan sebagai destinasi ekopelancongan dan pusat penyelidikan alam sekitar.
Pelbagai aktiviti akan diketengahkan menerusi program tersebut termasuk orientering, motorbike riding, paintball, menyumpit, slingshot dan food truck bagi menarik penglibatan masyarakat.-EDISI UKAS