43 Wanita Sertai Latihan Asas Sepak Takraw di Limbang
LAWAS: Seramai 43 wanita menyertai Kursus Latihan Asas Sukan Peribumi Peringkat Negeri Sarawak (Bahagian Limbang) – Sepak Takraw Wanita bagi mengasah kemahiran asas dan mencungkil bakat baharu sebagai pemain pelapis.
Program anjuran Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dengan kerjasama Kelab Sepak Takraw Merapok (KeSTaM) itu berlangsung di Dewan Aspirasi, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Merapok pada Ahad.
Kursus berkenaan memberi pendedahan kepada peserta mengenai teknik asas permainan secara tersusun, selain membina keyakinan, disiplin dan semangat berpasukan.
Antara kemahiran yang diajar ialah sepak sila, sepak kuda, sepak cekak, timangan, servis, menerima servis, hantaran atau umpan, rejaman serta kefahaman mengenai posisi pemain.
Peserta turut berpeluang mengaplikasikan kemahiran yang dipelajari menerusi pertandingan dalaman sepak takraw wanita yang diadakan pada akhir sesi latihan.
Program itu sekali gus menyediakan platform kepada peserta untuk mengembangkan kemahiran dan potensi dalam sukan sepak takraw, khususnya dalam kalangan wanita di Bahagian Limbang.
Usaha berkenaan turut menyokong pembangunan bakat akar umbi bagi melahirkan lebih ramai pemain pelapis sepak takraw wanita pada masa akan datang.
Turut hadir Pegawai Belia dan Sukan Limbang, Rynnille Elesteher Peter, Pengetua SMK Merapok Rohani Abu Bakar, Presiden Kelab Sepak Takraw Merapok (KeSTaM) Abd Kadir Bayan, Penolong Kanan Kokurikulum SMK Merapok Haini Yahya serta Penyelaras Program merangkap Jurulatih Safli Japar.- EDISI UKAS